DEMAM Red Devils kini mula dirasai apabila Manchester United sah bakal beraksi di Kuala Lumpur pada Mei ini, dan Malaysia Aviation Group (MAG) tidak ketinggalan menyemarakkan lagi keterujaan tersebut menerusi promosi khas buat para peminat bola sepak Asia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, syarikat penerbangan nasional itu akan memainkan peranan penting menyokong jelajah global Manchester United, termasuk menawarkan promosi khas untuk semua peminat sukan bola sepak, bukan hanya penyokong Red Devils.

“Kami baru sahaja melancarkan satu promosi untuk peminat bola sepak di Asia. Anda boleh melayari laman web kami dan menggunakan kod promo khas untuk mendapatkan diskaun istimewa,” ujar beliau.

Tambahnya, kod promosi tersebut bukan terhad kepada peminat Manchester United sahaja — malah terbuka kepada penyokong Arsenal, Tottenham, dan mana-mana pencinta bola sepak untuk terbang ke Kuala Lumpur atau Hong Kong bagi menyaksikan perlawanan yang bakal berlangsung.

Lebih menarik, Malaysia Airlines turut terlibat secara langsung dalam pengangkutan pasukan Manchester United ke Malaysia. “Kami akan berbincang dengan pihak Manchester United di sini dan akan menerbangkan mereka dengan syarikat kami sendiri. Kami benar-benar teruja untuk perkara ini,” katanya lagi.