TEKA-TEKI hala tuju Datuk Azizulhasni Awang, mungkin akan terjawab esok, namun Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi bayangan bahawa jaguh berbasikal trek itu mungkin tidak lagi bersama skuad negara pada Temasya Aichi-Nagoya, 2026.
Pada satu majlis diibu negara pada Khamis, Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill diajukan soalan berkaitan harapan pingat berbasikal trek negara pada Sukan Asia 2026 dan beliau yang juga Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) menamakan Mohamad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Rosli, sebagai sandaran emas.
“Sandaran utama sudah tentu dalam acara trek iaitu Shah Firdaus dan (Nurul) Izzah…dan untuk acara lebuhraya, kita akan melakukan pemilihan terbaik tetapi fokus utama adalah trek,” kata Amarjit.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung ACC, Kozim Urinboykhujaev tidak berselindung untuk menerima Azizulhasni sebagai jurulatih acara pecut untuk pasukan kebangsaan Uzbekistan.
“Mengapa tidak, jika dia (Azizulhasni) bersetuju… Dia seorang yang bagus dan banyak pengalaman.
“Tetapi buat masa ini, kami (Uzbekistan) baru memulakan program pembangunan bagi disiplin pecut. Selama ini pelumba kami hanya menyertai disiplin jarak jauh seperti omnium dan madison… mungkin pada masa hadapan,” kata Kozim.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri
Kozim mengakui, skuad berbasikal trek terutamanya acara pecut Malaysia jauh lebih berpengalaman dengan kejayaan memenangi pingat di Sukan Asia dan Temasya Olimpik.
Justeru, beliau begitu teruja berkongsi perancangan skuad berbasikal Uzbekistan yang mahu menganjurkan kem latihan pusat berbasikal trek di Veledrom Nasional, Nilai.
“Sebagai persiapan ke Sukan Asia di Jepun tahun hadapan, kami mahu anjurkan kem latihan di Malaysia, bersama skuad anda.
“Malaysia memiliki veledrom yang baik malah cuacanya juga bagus dan digemari pelumba kami.”
Dalam isu berkaitan, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan satu sidang media khas berhubung status program latihan The Pocket Rocketman akan diadakan di Bukit Jalil petang esok, sekali gus menjawab persoalan sama ada Azizulhasni akan kembali ke trek sebagai atlet atau meneruskan niat persaraan.