KUALA Lumpur City FC menerima kekalahan pertama dalam kejohanan Piala Shopee 2024-25 selepas tewas 2-0 kepada wakil Singapura, Lion City Sailors dalam aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Turun tanpa dua tonggak – Brendan Gan dan Jovan Motika, anak-anak buah Miroslav Kuljanac dilihat sukar bermain di padang tiruan dan terpaksa akur dengan dua jaringan pada setiap babak dari juara Liga Singapura itu.
Rehat panjang hampir tiga minggu juga dilihat sedikit menjejaskan rentak KL City tatkala Lion City Sailors pula sedang berada pada tahap terbaik selepas layak ke peringkat 16 Liga Juara-Juara AFC 2 dan ianya dalam dilihat pada aksi di dalam padang.
Bola lebih banyak berlegar di tengah padang dengan kedua-dua pasukan berhati-hati melancarkan serangan sebelum tandukan Wright hasil sepakan sudut memberikan kelebihan awal buat skuad kendalian Aleksandar Rankovic.
Bersambung babak kedua, tidak banyak perubahan berlaku dalam permainan KL City sebaliknya Lion City Sailors lebih banyak mengasak dengan beberapa percubaan yang mencemaskan barisan pertahanan The City Boys.
Lion City Sailors menambah gol pada minit ke-66 selepas Maxime Lestienne menyempurnakan jaringan cantik hasil permainan satu dua yang memerangkap KL City untuk gol kedua dan semakin selesa di dal permainan.
Miroslav Kuljanac melakukan beberapa perubahan dalam barisan pemain selepas itu untuk menambah sengat namun masih tidak berjaya mengubah nasib KL City yang dilihat serba tidak kena dalam permainan kali ini.
Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan KL City mengalami kekalahan pertama sekaligus turun ke tangga ketiga Kumpulan B kekal dengan enam mata di belakang pendahulu, Cong An Hanoi dan Buriram United manakala Lion City Sailors di tangga kelima dengan tiga mata.