Kredit Gambar: Paul ELLIS/AFP

Kapten Sepanyol, Rodri optimis skuad La Roja memiliki segala yang diperlukan untuk menewaskan Perancis dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 sekali gus melangkah ke pentas final buat kali pertama sejak muncul juara dunia pada 2010.

Tonggak tengah Manchester City itu berkata, keyakinan tersebut turut dipengaruhi rekod cemerlang Sepanyol ke atas Perancis dalam beberapa pertemuan penting sebelum ini, termasuk di pentas Kejuaraan Eropah dan Liga Negara-Negara UEFA.

Menurut Rodri, walaupun Perancis tampil sebagai antara pasukan paling kuat dalam kejohanan kali ini, Sepanyol juga berada pada tahap terbaik untuk mencabar tempat ke final.

“Perancis merupakan salah satu pasukan terbaik di kejohanan ini dan mereka sedang melalui prestasi yang baik.

“Namun kami juga berada dalam keadaan yang sama. Kami percaya mampu menewaskan mereka kerana kami sudah melakukannya sebelum ini di EURO dan Liga Negara-Negara UEFA,” katanya.

Rodri sendiri mempunyai rekod positif ketika berdepan Les Bleus apabila membantu Sepanyol menewaskan Perancis pada separuh akhir Kejohanan Eropah Bawah 19 Tahun 2015, separuh akhir EURO 2024 serta final Liga Negara-Negara UEFA musim lalu.

Mengulas mengenai pengendali Luis de la Fuente, pemain berusia 30 tahun itu menyifatkan kejayaan Sepanyol ketika ini bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan jangka panjang yang dibina jurulatih berkenaan.

“Luis tidak pernah berubah. Semua yang sedang kami nikmati hari ini bermula daripada asas yang dibinanya sejak awal,” katanya.

Meskipun ramai menjangkakan aksi sengit dengan jaringan besar seperti kemenangan dramatik 5-4 ke atas Perancis tahun lalu, Rodri percaya senario kali ini berbeza memandangkan saingan Piala Dunia memerlukan pendekatan lebih berhati-hati.

“Perlawanan di Piala Dunia mempunyai tekanan dan situasi yang berbeza. Saya tidak fikir ia akan menjadi perlawanan yang terlalu terbuka,” jelasnya.

Dalam masa sama, Rodri turut mengulas perkembangan bintang muda sensasi Sepanyol, Lamine Yamal, yang dijangka memainkan peranan penting dalam misi menundukkan Perancis.

Menurutnya, pemain berusia 19 tahun itu memiliki kualiti luar biasa, namun perlu mengawal emosinya agar tidak terlalu tertekan untuk sentiasa membuktikan kemampuan di pentas terbesar dunia.

“Dia pemain yang sangat penting buat kami, sama ada ketika menguasai bola atau tanpa bola. Dia juga bijak dan sentiasa mahu belajar.

“Kadangkala kami perlu membantunya supaya lebih tenang ketika perlawanan, tetapi dia seorang pemain yang sentiasa mendengar nasihat dan menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Sepanyol bakal berdepan Perancis dalam aksi separuh akhir yang dijangka berlangsung sengit, dengan pemenangnya akan mengesahkan tempat ke final Piala Dunia 2026.