AKTIVITI bola sepak sosial yang sepatutnya menjadi ruang santai dan pelepas tekanan kini semakin hilang seri apabila unsur agresif serta permainan kasar dilihat kian berleluasa, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pemain.

Bola sepak sosial sejak sekian lama menjadi pilihan golongan dewasa bekerja dan pelajar untuk kekal cergas serta mengeratkan hubungan, namun peningkatan insiden pergaduhan dan kecederaan mula menyebabkan ramai menjauhkan diri daripada padang.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan punca utama masalah itu berpunca daripada kegagalan pemain membezakan sifat santai bola sepak sosial dengan permainan kompetitif.

“Agresif dan keganasan dalam bola sepak sosial di Malaysia dalam kalangan golongan bekerja mungkin berpunca daripada gaya hidup yang semakin tertekan dan mencabar,” katanya.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berpandangan  sifat agresif menjadi punca rakyat dan pemain menjauh dari bermain sukan Bola Sepak.

Menurut beliau, ramai pemain membawa tekanan tempat kerja serta mentaliti ‘mahu menang’ ke dalam permainan sosial, lalu menjadikan sukan itu sebagai saluran meluahkan kekecewaan sehingga mencetuskan tindakan agresif tanpa disedari.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila aspek disiplin dan penguatkuasaan peraturan gagal dititikberatkan.

“Prestasi pengadil yang lemah atau penguatkuasaan peraturan yang tidak konsisten akan menggalakkan permainan kasar dan membuka ruang kepada tingkah laku ganas semasa perlawanan,” jelas Pekan.

Beliau menegaskan perlunya peraturan bertulis yang jelas berkaitan keganasan walaupun di peringkat sosial, termasuk tindakan tegas seperti penyingkiran serta penggantungan segera.

“Jika insiden ganas berlaku, ia mesti disusuli dengan tindakan segera supaya ada kesan pencegahan dan pengajaran,” katanya.

Selain itu, Pekan menekankan peranan kapten pasukan dan pengadil sebagai benteng awal untuk mengawal keadaan di padang.

“Memberi tanggungjawab kepada kapten untuk memantau tingkah laku pemain serta menggalakkan kawalan kendiri boleh membantu mengurangkan agresif,” ujarnya.

Beliau turut menggesa pembudayaan nilai hormat dan permainan adil diperkasakan, termasuk amalan berjabat tangan sebelum dan selepas perlawanan serta pendidikan kawalan emosi melalui media sosial, sambil memberi amaran bahawa tanpa perubahan, bola sepak sosial berisiko ditinggalkan apabila pemain memilih aktiviti yang lebih selamat demi mengelak kecederaan dan konflik.

TAMAT