Majlis Olimpik Malaysia (MOM) secara rasmi mengumumkan senarai kontinjen negara ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang akan berlangsung di Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos depan.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung OCM, Datuk Mohd Nasir Ali selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif OCM Ke-216 serta Mesyuarat Agung Tahunan OCM Ke-45 yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Seramai 104 anggota akan membentuk kontinjen Malaysia, terdiri daripada 59 atlet dan 45 pegawai. Daripada jumlah atlet itu, 41 adalah lelaki manakala 18 wanita.
Selaras dengan konsep baharu Sukan Komanwel, Malaysia akan menghantar 37 atlet normal dan 22 atlet para yang akan bersaing dalam lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan.
Kontinjen negara akan diketuai Chef de Mission, Datuk Awalan Abdul Aziz yang juga Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia. Beliau akan dibantu sekretariat yang dianggotai wakil MOM, Majlis Paralimpik Malaysia (PCM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Dalam pada itu, pemenang dua pingat emas Paralimpik, Datuk Abdul Latif Romly, dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi kontinjen Malaysia.
Pemain nombor satu dunia lawn bowls, Emma Firyana Saroji pula diberi penghormatan sebagai pembawa Baton Raja pada majlis pembukaan yang dijadual berlangsung pada 23 Julai di Hydro, Scottish Event Campus (SEC).
MOM optimis kontinjen negara mampu mempamerkan aksi terbaik dan mengharumkan nama Malaysia pada temasya yang bakal membuka tirai hujung bulan ini.