JOHOR Bahru bertukar menjadi lautan warna-warni apabila lebih 500 peserta termasuk 150 kanak-kanak membanjiri Pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jalan Dato’ Onn pada 10 Ogos lalu bagi menyertai siri kedua Larian Kidslympic Malaysia 2025.

Acara yang dianjurkan Kidslympic Malaysia dengan kerjasama MBJB, MESB serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan Malaysia itu terus mencuri perhatian sebagai platform menggabungkan elemen kecergasan, keseronokan dan kebersamaan keluarga melalui sukan.

Selepas Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pembuka tirai pada Jun lalu, Johor menjadi hentian kedua sebelum siri ini diteruskan ke Pulau Pinang pada 14 September dan Selangor pada 28 September. Siri jelajah ini bakal melabuhkan tirai dengan Grand Finale di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Oktober sempena sambutan Hari Sukan Negara.

Menariknya, format larian 2.4km Penjaga + Anak di Johor bukan sekadar menguji stamina, tetapi direka khas untuk memberi pengalaman bermakna kepada anak-anak yang berlari bersama ibu bapa mereka. Masa larian kanak-kanak direkodkan menggunakan sistem cip pemasa profesional, menjadikan mereka merasai pengalaman setara acara rasmi meskipun ia tidak berunsur kompetitif.


Suasana karnival jelas dirasai apabila jalan sekitar Dato’ Onn ditutup untuk memberi laluan kepada acara ini. Sesi zumba bertenaga tinggi sebagai pemanas badan, zon hiburan keluarga dengan maskot, permainan tiup, reruai penaja, serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah sukan, baucar beli-belah dan mainan menjadikan acara ini lebih meriah.

“Larian Kidslympic bukan sekadar perlumbaan — ia adalah peluang ibu bapa dan anak-anak mencipta kenangan melalui aktiviti yang sihat dan menyeronokkan. Kehadiran peserta di Johor membuktikan masyarakat kini semakin bersedia menjadikan sukan sebagai gaya hidup,” kata Pengasas Bersama Kidslympic Malaysia, Wong Kang Woon.

Bagi peserta, Steven Gan, pengalaman menyertai larian itu cukup bernilai buat anak perempuannya. “Sangat jarang acara sebegini dianjur dengan begitu teratur untuk kanak-kanak. Anak saya berlatih selama beberapa minggu dan hari ini dia bangga menamatkan larian. Ia satu pengalaman bermakna,” katanya.

Kidslympic Malaysia 2025 bakal mencapai kemuncaknya apabila lebih 1,500 atlet muda berhimpun di Stadium PNB Merdeka Ventures, Kuala Lumpur pada 10–12 Oktober depan bagi temasya sukan pelbagai disiplin ala Olimpik khas untuk kanak-kanak, merangkumi olahraga, renang, bola keranjang 3×3, bola tampar, bola sepak, gimnastik dan perlumbaan halangan.