Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengumumkan senarai 26 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Hyundai ASEAN 2026 yang berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini.

Kem latihan pusat akan bermula pada 15 Julai dengan barisan pemain dipilih hasil proses pemantauan dan penilaian menyeluruh sebelum senarai akhir dihantar kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menjelang tarikh tutup pendaftaran pada 10 Julai.

Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi penyumbang terbesar apabila menghantar lapan pemain, termasuk Mohamadou Sumareh, Ibrahim Manusi, Daryl Sham George, Pavithran Gunalan, Ziad El Basheer Norisham, Alif Ahmad, Faris Danish Asrul dan Haziq Aiman Esa.

Turut dipanggil ialah pemain berpengalaman seperti Paulo Josue, Jimmy Raymond, Rodney Celvin Akwensivie, Rahadizli Rahalim, Ubaidullah Shamsul Fazili, Dominic Tan, Sergio Aguero dan Syafiq Ahmad, selain beberapa pemain yang sedang beraksi di luar negara seperti Richard Chin, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal.

Sebagai persediaan menghadapi kejohanan, FAM turut meletakkan sembilan pemain dalam senarai bersedia yang akan dipanggil sekiranya berlaku sebarang perubahan terhadap skuad utama. Antara nama dalam senarai itu ialah Samuel Sommerville, Tommy Mawat Bada, Akhyar Rashid, Danial Amier Norhisham dan Ahmad Aysar Hadi Shapri.

Tan Cheng Hoe mengakui proses pemilihan kali ini bukan mudah memandangkan Piala Hyundai ASEAN 2026 berlangsung di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA, selain kebanyakan kelab Liga Super baharu sahaja memulakan latihan pramusim.

Bagaimanapun, beliau percaya tempoh lapan hari latihan pusat sebelum pasukan berlepas ke Yangon mampu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempersiapkan skuad menghadapi cabaran di Myanmar.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan B menentang tuan rumah Myanmar di Stadium Thuwunna pada 25 Julai sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk melayan Laos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 28 Julai.

Selepas itu, Malaysia akan bertandang ke Bangkok untuk bertemu Thailand pada 1 Ogos sebelum menutup aksi kumpulan menentang Filipina di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8 Ogos. Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang berlangsung secara timbal balik pada 15/16 Ogos dan 18/19 Ogos, sebelum final dijadualkan pada 22 dan 26 Ogos.