Select Page

Muay Thai Remaja Dunia: “Percaya pada Tuhan, minta doa”

Muay Thai Remaja Dunia: “Percaya pada Tuhan, minta doa”

ATLET Muay Thai kelahiran Sarawak kategori (Junior 12-13) 48 kilogram, Texas Jeremy Lo mengakui kehadiran penyokong negara pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia merupakan faktor utama kejayaannya dalam membenam cabaran atlet dari Arab Saudi, Hisyam Alajam.

Biarpun tampil dengan aksi cemerlang, atlet berusia 13 tahun itu turut merasai tekanan kerana sedar lawan yang bakal ditempuh  tentunya memiliki ramuan tersendiri untuk menewaskan pesaing tuan rumah.

Bagaimanapun, atlet dari Kuching itu tetap optimis bakal hadir dengan kilauan emas dalam kejohanan kali ini yang menjanjikan saingan sengit dari kesemua negara bertanding terutama Thailand.

Texas (merah) cemerlang mengumpan pihak lawan melakukan ‘single punch’ (biru).

“Saya rasa ia membantu saya, menyokong saya sepanjang perjalanan karier saya. Saya harap penyokong terus berada di belakang saya. Tanpa penyokong siapalah saya. Saya rasa gembira kerana saya menang ketiga-tiga pusingan jadi ia suatu pengalaman yang bagus. Kita mesti ada keyakinan sebelum kita memasuki gelanggang. Saya jangkakan emas untuk Malaysia.

“Saya ada rasa sedikit tekanan kerana tahun lepas saya menang kejuaraan dunia. Jadi saya rasa jika saya tidak menang kali ini, saya tidak cukup bagus. Saya berlawan di Thailand dua kali. Saya menang sekali dan kalah sekali. Atlet Thailand sangat bagus dan memiliki lebih pengalaman berbanding kami di sini.

“Jangkaan peribadi saya, setiap lawan yang ditemui adalah dalam satu tahap yang tinggi jadi saya harus bersedia dari segi badan dan minda saya kerana mereka lebih pantas daripada saya. Seterusnya kita akan lawan Sabah juga dari Malaysia. Sebelum ini saya pernah berjumpa dengan dia dan saya menang, ” ujarnya kepada FLASH SUKAN selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, atlet Muay Thai kategori (Junior 12-13) 20 kilogram, Wan Muhammad Nasreen Aidid bin Wan Asmadi menganggap kejayaan menyingkirkan lawan dari Arab Saudi, Saud Alqahtani adalah sesuatu yang di luar jangkaannya.

Tambahnya, doa saudara mara serta nasihat jurulatih adalah pencetus kepada kemenangannya mengatasi lawan yang memiliki fizikal jauh lebih tegap berbandingnya.

Jika dilihat dari segi fizikal, ianya sukar diterima akal apabila Nasreen mampu melakukan asakan bertubi-tubi yang mengakibatkan atlet Arab Saudi tersebut seakan tidak mampu membalas serangannya.

“Percaya pada Tuhan, minta doa. Tidak rasa pun boleh menang tetapi Alhamdulillah menang tadi, tak jangka.

Nasreen (merah) bijak mengelak serangan lawan dari Arab Saudi (biru).

“Terima kasih kepada saudara mara saya kerana mendoakan saya. Jurulatih saya selalu bagi semangat. Dia pun manusia juga, semua sama sahaja.

“Dia tidak mampu membalas serangan saya. Saya percaya ini bukan dari saya tetapi kuasa yang kita tidak dapat lihat. Lepas ini saya akan lawan atlet Arab Saudi juga di separuh akhir, harap skrip sama berulang,” katanya.

Untuk rekod, Texas Jeremy Lo berjaya menjadi juara kebangsaan di Kuala Lumpur untuk dua edisi pada 2019 dan 2020, dan pernah merangkul kejuaraan dunia di Bangkok pada 2021.

Manakala, Wan Muhammad Nasreen Aidid pula sebelum ini berjaya dalam kejohanan domestik, dengan memenangi pingat emas Besut Muay Thai Fight, Putik Kelantan , Pro Dusun Durian Kelantan yang kesemuanya diraih pada tahun 2022.

Video Terkini

Loading...