PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC), K.Nanthakumar mengakui dia pelik dengan apa yang terjadi kepada pasukannya selepas tewas 0-4 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin.

Ini adalah kekalahan ketiga NSFC dengan jumlah jaringan yang sama kepada Selangor dan Nanthakumar mahu mengubah sesuatu sebelum bertemu Terengganu FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia.

“Selain faktor hujan, kita tahu Selangor adalah pasukan yang bagus dengan pemain import yang cukup baik berbanding kami yang kehilangan tiga pemain import ekoran kecederaan dan masih dalam proses pemulihan.

“Saya sudah beritahu kepada pemain tentang kekalahan dua kali kepada Selangor musim ini namun seperti ada yang tidak kena dengan mereka apabila semuanya dilihat tidak memberikan kesan selain beraksi tanpa penyerang utama sangat memberi kesan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Nanthakumar juga turut mengakui kekurangan seorang pemain ekoran dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama sememangnya menjejaskan aksi pasukannya dalam perlawanan ini.

“Semestinya kad merah juga mengganggu dan selepas ketinggalan 2-0 dan bermain dengan 10 pemain, sangat sukar untuk bangkit terutama apabila berhadapan pasukan berkualiti seperti Selangor,” jelasnya.

Negeri Sembilan beraksi di bawah tahap sebenar di dalam cuaca hujan sekaligus mengecewakan lebih 1,300 penyokong dan kini akan menumpukan perhatian pada aksi Piala Malaysia menentang Terengganu FC yang dijadualkan pada Sabtu di laman sendiri.