PENGENDALI baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi gembira dengan persembahan kesemua pemain dalam skuad yang memberikan kemenangan pertama buatnya dalam Liga Super selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 0-4 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin.
Ini adalah kemenangan 4-0 kedua berturut-turut buat Selangor selepas menundukkan Dynamic Herb Cebu pada saingan Liga Juara-Juara AFC 2 di Manila dan pemain tidak menunjukkan sebarang tanda keletihan untuk kembali merampas tempat kedua liga.
Kinoshi juga mahu rentak cemerlang ini sentiasa diteruskan walaupun akan beraksi tanpa beberapa tonggak utama yang dilepaskan ke kem kebangsaan untuk mengharungi kempen Piala Asean Mitsubishi Electric 2024.

Alvin Fortes meraikan gol kedua Selangor FC menerusi sepakan percuma.
“Saya sangat berpuas hati dengan dua kemenangan berturut-turut ini serta dengan apa yang ditunjukkan oleh para pemain dalam skuad ini bermula dari sesi latihan sehingga kepada apa yang perlu dilakukan ketika di dalam padang.
“Namun apa yang penting kini adalah kami perlu teruskan rentak kemenangan sebegini serta mempunyai rasa percaya kepada diri sendiri. Ini kemenangan pertama saya di Malaysia tetapi buat Selangor ini satu lagi kemenangan dan pemain perlu terus bekerja keras.
“Pemain sedikit keletihan kerana jadual yang padat tetapi seperti yang saya katakan kepada mereka, jika anda mahu jadi pemain yang baik, anda perlu bermain banyak perlawanan namun kami akan menganalisa keadaan mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Yohandry Orozco meneruskan rentak cemerlang menjaringkan gol
Jurulatih asal Jepun itu turut terpaksa menerima hakikat dia bakal kehilangan beberapa pemain utama yang dilepaskan ke skuad kebangsaan dan dia akan lakukan yang terbaik untuk menghadapi dua perlawanan Challenge Cup dan satu aksi Liga Super menentang Perak FC.
“Pasukan juga akan kehilangan beberapa pemain kerana mewakili skuad kebangsaan Malaysia dan Singapura namun kami perlu teruskan beraksi meskipun tanpa empat pemain utama.
“Kami boleh menolak permintaan ini tetapi Selangor adalah sebahagian daripada bola sepak Malaysia jadi kami perlu beri kerjasama dan lepaskan beberapa pemain dan berharap mereka akan kembali dalam keadaan baik selepas ini,” jelasnya.
Selangor berjaya membawa pulang tiga mata selepas Aliff Haikal, Alvin Fortes, Quentin Cheng dan Yohandry Orozco masing-masing menyumbang satu gol untuk memberikan kemenangan dan tiga mata penting bagi mengukuhkan kembali kedudukan dalam Liga Super.