PASUKAN hoki remaja wanita negara terpaksa akur dengan kekalahan besar 0-5 di tangan India dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Asia Remaja Wanita 2024, yang berlangsung di Stadium Hoki Al-Amarat, Muscat, Oman, pada Isnin.
Walaupun berjaya memberikan saingan sengit pada dua suku pertama, skuad muda negara bimbingan Lailin Abu Hassan gagal mengekalkan momentum apabila India menjaringkan lima gol berturut-turut dalam suku ketiga dan keempat.
India membuka tirai jaringan menerusi gol pukulan sudut penalti (PC) oleh Vaishnavi Vitthal Phalke pada minit ke-32, sebelum Deepika mencetak dua lagi gol pada minit ke-37 (PC) dan ke-39 (penalti stroke). Siwach Kanika turut menyumbang gol padang pada minit ke-38, diikuti Deepika melengkapkan hatriknya pada minit ke-48, sekali lagi menerusi PC.
Ketua jurulatih pasukan, Lailin Abu Hassan, mengakui kelemahan pasukan dalam mengekalkan fokus sebagai faktor utama kekalahan ini.
“Pemain-pemain bermain dengan baik pada suku pertama dan suku kedua. Mereka berjaya menangani asakan India, tetapi apabila masuk suku ketiga, fokus mula hilang.
“Kesilapan mudah dan kelemahan dalam marking telah menghukum kita,” jelasnya selepas perlawanan.
Lailin turut menegaskan bahawa fokus kini tertumpu pada pertemuan menentang Bangladesh, yang dianggap perlawanan wajib menang bagi memastikan peluang Malaysia kekal dalam saingan Kumpulan A.
Pasukan diberi satu hari rehat pada Selasa, dengan jurulatih mengarahkan para pemain untuk menjalani sesi pemulihan dan rehat secukupnya sebelum aksi penting pada Rabu.
“Bangladesh memiliki tiga atau empat pemain yang berkaliber. Kami perlu merancang strategi secara terperinci untuk menghadapi mereka. Ini perlawanan yang mesti dimenangi,” tambahnya lagi.
Malaysia dijadualkan berdepan Bangladesh malam ini jam 8:45 waktu Malaysia, dan kemenangan dalam perlawanan ini amat penting untuk meningkatkan kedudukan dalam kumpulan serta membuka peluang ke pusingan seterusnya.