KEPUTUSAN cemerlang yang diperoleh kapten pasukan Perak FC IV, Mohamad Nasrudin Ahmad Hayeekaji sudah cukup membuktikan kehebatan mental dan fizikalnya meskipun bergelar sebagai seorang pemain bola sepak.
Pemain berumur 17 tahun itu juga menggalas peranan sebagai seorang pengawas yang berdedikasi, sekali gus menamatkan karier di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SSN Kedah), Jitra dengan keputusan ‘straight A’ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Salah seorang guru yang membimbingnya sejak di Tingkatan 1, Mohammad Adzlan turut mengakui bahawa Nasrudin merupakan seorang pelajar yang cukup bagus dan mempunyai watak ‘multitasking‘ atau serba boleh yang tidak dimiliki oleh semua orang.
“Saya sendiri tidak menjangka yang dia akan capai 9A dalam SPM. Saya memang tahu dia bagus berdisiplin tetapi untuk dapat 9A itu, cukup tak sangka.
“Saya yang juga seorang jurulatih bola sepak dan warden di asrama dapat menilai bahawa Nasrudin mempunyai kelebihan lain. Setiap hari di asrama, pelajar semua buat perkara yang sama belajar sama-sama, tetapi disebabkan dia fokus ketika cikgu mengajar, dia dapat lebih di situ.
“Jadi tidak dinafikan, dia memang cemerlang dari dahulu. Semua dia boleh buat dan guru-guru lain ada cakap dia boleh jadi ‘Tok Imam’ juga,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Sabtu.
Untuk mengulas lanjut mengenai perjalanan Nasrudin ke SMKTATAR, gurunya mendedahkan bahawa dia mempunyai kecekalan yang kuat untuk mendalami sukan bola sepak, walau pada awalnya tidak terpilih untuk ke Sekolah Sukan di Perak.
Oleh kerana itu, dia cuba untuk menyertai sesi pemilihan kemasukan ke sekolah TATAR, dan sudah tertulis rezekinya untuk menyambung pelajaran di sekolah menengah itu. Satu kelebihan juga buat Nasrudin kerana dia mempunyai seorang ayah yang memahami dan mengikuti minat anaknya.
“Ceritanya, dia sendiri yang memilih untuk masuk ke sekolah ini kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bola sepak. Bapa dia juga sangat bagus dan tidak mengongkong perjalanan anaknya.
“Ayah dia juga ada cakap, jika tak dapat masuk ke sekolah ini, dia akan dihantar ke Sekolah Agama kerana pencapaian Nasrudin di sekolah rendah juga baik.
“Jadi apabila dia di sini, saya sangat gembira melihat kejayaannya dan dia merupakan pelajar pertama yang meraih straight A di sini,” tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN : “Terharu, syukur tak sangka dapat keputusan SPM 9A” – Nasrudin
Untuk rekod, SMKTATAR telah berjaya melahirkan ramai pemain bola sepak profesional yang kini sedang beraksi untuk Liga Super dan skuad kebangsaan seperti Syafiq Ahmad, Ariff Farhan, Akhyar Rashid, Fadzrul Danel dan Aiman Afif yang kini beraksi untuk skuad kebangsaan bawah 23.
Malah, Syafiq dan Ariff merupakan anggota skuad SSN Kedah yang memenangi Piala Premier Manchester United 2010 dan seterusnya mara ke saingan World Finals di Old Trafford.