PEMAIN berpengalaman skuad Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor yakin barisan skuad muda The Bos Gaurus akan menghadirkan saingan kepada pasukan Liga Super lain musim ini.

Jelasnya, pasukan Perak sekarang berbeza berbanding tahun lepas kerana rata-rata diisi pemain muda yang kini dikendalikan Lim Teong Kim.

“Pemain muda miliki satu semangat yang tinggi dan mereka suka apabila berada pada tahap lebih tinggi akan sentiasa berikan yang terbaik.

“Insya Allah, dengan taktikal dan cara latihan dibimbing coach, saya harap mereka dapat menyesuaikan diri lebih cepat,” katanya yang bersama Perak untuk musim kedua tahun ini.

Pemain posisi tengah yang kini berusia 31 tahun pernah dianggap sebagai salah seorang prospek masa depan Harimau Malaya itu juga tidak melihat kombinasi pemain senior dan junior sebagai jurang perbezaan besar.

“Tiada beza. Kita bermain bola sebagai pasukan. Macam budak muda bagusnya bila kita senior akan nasihat beritahu pengalaman yang ada untuk cuba bantu mereka sebagai pemain.

“Pemain muda boleh terima teguran dan cuba belajar daripada kita jadi saya rasa mereka akan melakukan yang lebih bagus jika diberi tunjuk ajar yang baik,” katanya.