PERAK FC akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama sejak kembali semula ke Liga Super apabila menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.
Dua jaringan daripada pemain import Korea Selatan, Seo Seonung pada setiap babak cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim selepas beraksi dalam empat perlawanan.
Skuad Seladang yang turun dengan misi mencari kemenangan pertama menampilkan aksi yang baik dengan gandingan pemain-pemain import dan tempatan mula menunjukkan keserasian di dalam padang.
LIGA SUPER 2023
FT: Perak FC 2-0 Kuching City FC
⚽ Seo Seonung 41',67'#LigaSuper2023#KejorYobKejor#Laruk pic.twitter.com/XiRMuYlLWy
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 12, 2023
Kesilapan penjaga gol Kuching City, Shaiful Wazizi menyaksikan Perak berjaya membuka tirai jaringan pada penghujung babak pertama selepas dia gagal mengawal bola sepakan Seonung yang bergolek melepasinya ke dalam gawang.
Kuching City juga mempunyai beberapa peluang keemasan tetapi gagal menemui jaring apabila sering digagalkan Bryan See dan juga palang gol yang menjadi penghalang.
Bersambung babak kedua, Perak menggandakan kedudukan apabila Seonung sekali lagi menjaringkan gol untuk menggembirakan ribuan penyokong The Bos Gaurus yang hadir ke stadium.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan kemenangan menjadi milik Perak yang mendaki carta liga ketangga keenam dengan lima mata hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri selepas empat perlawanan.
Kekalahan ketiga berturut-turut Kuching City ini juga menyaksikan mereka kini di ke-10 kekal dengan tiga mata hasil kemenangan dalam perlawanan pembukaan liga keatas Kelantan FC bulan lalu.