KEJOHANAN Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2 kehilangan satu lagi pasukan apabila Nilai City SC sah menarik diri daripada saingan musim ini susulan isu perlanggaran kontrak oleh beberapa pemain utama mereka.
Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menerima surat rasmi penarikan diri kelab berkenaan pagi tadi. Menurut kenyataan FAM, keputusan drastik itu dibuat selepas beberapa tonggak gagal hadir ke sesi latihan dan perlawanan yang dijadualkan.
Susulan keputusan itu, FAM membatalkan semua keputusan tujuh perlawanan yang melibatkan Nilai City SC setakat ini termasuk kemenangan ke atas PJ Champz FC dan Canaan FC serta keputusan seri menentang ATM. Perlawanan minggu ini menentang USMKK FC dan Kuala Lumpur 2 juga dibatalkan serta-merta.
Keputusan ini sekaligus memberi kesan langsung kepada carta kedudukan MPFL D2 yang akan dikemas kini selepas semua aksi Hari Perlawanan 9 selesai hari ini. Nilai City SC turut berdepan kemungkinan hukuman tambahan termasuk denda dan penggantungan, tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai serta Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Situasi ini sekali lagi membuka persoalan terhadap tahap komitmen dan pengurusan dalaman kelab-kelab dalam saingan divisyen kedua futsal negara. Apa yang pasti, insiden ini menjadi tamparan buat liga yang sedang giat mencari kestabilan dan kredibiliti di peringkat pembangunan.
TAMAT