Bekas pemain kebangsaan Malaysia, Lee Tuck kembali mewarnai saingan bola sepak tempatan apabila sah menyertai Kelantan City FC bagi musim ini.
Teka-teki berkenaan akhirnya terjawab selepas Presiden Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan penyertaan Tuck menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Annuar, Tuck merupakan antara 33 pemain yang didaftarkan Kelantan City pada hari terakhir tempoh pendaftaran pemain Liga AFL.
“33 pemain termasuk Andrew Lee Tuck telah didaftarkan bermain untuk Kelantan City. Hari ini adalah hari terakhir pendaftaran pemain liga AFL,” katanya.
Dalam pada itu, Kelantan City turut mendapatkan khidmat Sean Selvaraj, namun pemain tersebut hanya akan didaftarkan untuk beraksi bermula Januari bagi memberinya masa memulihkan kecergasan selepas menjalani pembedahan ACL pada awal tahun ini.
Kelantan City turut melengkapkan pendaftaran dengan tiga pemain import serta tujuh pemain bawah 22 tahun (B-22) bagi menghadapi kempen mereka.
Tuck sebelum ini meninggalkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2023 sebelum kembali ke England, selain aktif menyertai pertandingan Hyrox dan mencatat beberapa pencapaian atas nama Malaysia.
Sepanjang kariernya di Malaysia, pemain kelahiran England itu pernah mewakili KDA FC, Negeri Sembilan, Terengganu FC dan Sri Pahang FC, selain merekodkan sembilan penampilan serta tiga gol bersama skuad Harimau Malaya.