BERHUBUNG perlawanan Indonesia-Bangladesh dalam Piala ASEAN FIFA 2026, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu penjelasan rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai perubahan tempoh masa tambahan, malam tadi.

FAM memandang serius perkara berkenaan selepas tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudiannya berubah kepada tujuh minit ketika perlawanan berlangsung.

“Sehubungan itu, FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada FIFA bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut,” menurut FAM dalam satu kenyataan media.

Menurut FAM, pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.

“FAM turut berpandangan bahawa perkara ini wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan perlawanan tersebut melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A.

“Justeru, FAM menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, serta perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa,” jelas FAM.

Permohonan berkenaan dibuat susulan kepentingan perlawanan tersebut dalam menentukan kedudukan akhir Kumpulan A serta pasukan yang akan mara ke pentas final Piala ASEAN FIFA 2026.

FAM bagaimanapun menegaskan bahawa permohonan itu bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan.

Menurut badan induk itu, penjelasan daripada FIFA juga penting bagi memastikan ketelusan, konsistensi dan kejelasan dalam pelaksanaan peraturan berkaitan pengurusan masa perlawanan.

Kemenangan 6-0 Malaysia ke atas Singapura akhirnya tidak mencukupi selepas Indonesia menambah dua gol pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan kemenangan 9-2 dan mengesahkan tiket ke final menentang Thailand.

Harimau Malaya selepas ini akan menentang Vietnam pada 10 Oktober di Stadium Gelora Bung Karno bagi menentukan pasukan yang bakal menduduki tempat ketiga.