Kredit Gambar: MSN Malaysia

Harapan Pearly Tan-M Thinaah untuk melakar sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia mara ke final Sukan Asia tidak kesampaian selepas pasangan nombor lima dunia itu tewas kepada gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, di separuh akhir Aichi-Nagoya 2026.

Pearly-Thinaah bermula baik dengan menguasai set pertama 21-16, namun lawan nombor satu dunia itu bangkit mengubah corak permainan dalam set kedua untuk memaksa aksi ke set penentuan.

Pasangan negara sebenarnya mempunyai peluang untuk menamatkan perlawanan dalam set kedua apabila berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 19-19 serta 20-20.

Namun, Sheng Shu-Tan Ning lebih tenang pada penghujung set sebelum meraih dua mata berturut-turut untuk menang 22-20 dan mengheret perlawanan ke set ketiga.

Dalam set penentuan, gandingan China terus meningkatkan tekanan dengan permainan lebih agresif dan kemas sebelum menutup aksi 21-12 selepas pertarungan selama 85 minit di Ichinomiya City Municipal Gymnasium.

Keputusan itu menyaksikan Sheng Shu-Tan Ning kini memiliki 11 kemenangan daripada 14 pertemuan menentang Pearly-Thinaah.

Walaupun gagal ke final, Pearly-Thinaah tetap memastikan satu pingat gangsa menjadi milik Malaysia dalam acara beregu wanita pada temasya kali ini.

Pencapaian itu menyamai rekod terbaik Malaysia dalam acara berkenaan selepas tiga gandingan terdahulu turut meraih gangsa menerusi Tan Gaik Bee-Ng Mei Ling di Jakarta 1962, Rosalind Singha Ang-Teoh Siew Yong di Bangkok 1970 dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Incheon 2014.