Select Page

Noor Azman sambut baik rancangan Presiden Fifa

Noor Azman sambut baik rancangan Presiden Fifa

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman menyambut baik saranan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino bagi menyelaraskan penganjuran Piala AFF ke dalam kalendar Fifa.

“Ia kenyataan daripada Presiden Fifa sendiri, jadi kita menyokong. Perkara yang bagus beliau sarankan untuk kalendar Piala AFF diselaraskan dengan kalendar Fifa,” katanya selepas majlis makan malam penghargaan pengadil di Hotel Concorde, Shah Alam.

Jika saranan tersebut direalisasikan Fifa, maka kesemua pemain dalam setiap pasukan diwajibkan menyertai pasukan Harimau Malaya seandainya nama tersenarai dalam panggilan skuad kebangsaan.

Perkara tersebut mula timbul apabila beberapa pemain menolak untuk menyertai panggilan bersama skuad Kim Pan-gon yang rata -rata memanggil sejumlah besar pemain dari pasukan Johor Darul Ta’zim kerana masih bercuti dan penganjuran kejohanan tersebut berada di luar kalendar Fifa.

Ia menyaksikan beberapa negara bertanding tidak dapat menyediakan pasukan terbaik untuk bersaing di Piala AFF yang berlangsung dua tahun sekali itu.

Sekiranya kenyataan Infantino menjadi kenyataan, maka kejohanan tersebut akan diangkat menjadi sebagai antara kejohanan berprestij diiktiraf Fifa dan tiada isu berhubung pemain boleh menolak panggilan bersama skuad kebangsaan kerana Piala AFF berada dalam kalendar Fifa.

Infantino berminat untuk menjadikan Piala AFF yang dilabelkan sebagai ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ setelah melihat peminat bola sepak rantau Asia Tenggara yang begitu fanatik terhadap bola sepak dan memiliki pengikut tersendiri.

Video Terkini

Loading...