PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan penghargaan tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia atas sokongan menyeluruh yang menjadi antara pemangkin kejayaan Harimau Malaya membenam Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027, malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut kenyataan rasmi badan induk itu, kejayaan besar menewaskan pencabar utama Kumpulan F itu bukan hanya hasil kerja keras pemain dan barisan kejurulatihan, tetapi turut dipacu oleh bantuan kewangan menerusi peruntukan khas kepada pasukan serta kemudahan yang dipercepatkan bagi urusan dokumentasi pemain-pemain warisan baharu.

Langkah kerajaan bertindak sebagai pemudah cara dalam mempercepatkan proses dokumentasi itu membuka ruang penting buat beberapa tonggak baharu turun beraksi, sekaligus memperkukuh kekuatan skuad negara. Ia jelas memberi impak ketara apabila pemain-pemain import warisan mempamerkan prestasi meyakinkan sepanjang 90 minit perlawanan.

FAM turut berharap agar sokongan padu daripada kepimpinan tertinggi negara dan penyokong tempatan akan terus membara dalam usaha membawa Harimau Malaya mara lebih jauh di pentas antarabangsa serta menggapai status sebagai pasukan gergasi Asia suatu hari nanti.

Momentum kemenangan ini bukan sekadar tiga mata, tetapi satu simbol kebangkitan yang tercetus hasil kerjasama erat antara pentadbiran negara dan dunia bola sepak tanah air.

 

foto:fam