PEMAIN boling wanita negara, Nora Lyana Nastasia Norkamal meneruskan prestasi cemerlang apabila muncul juara kategori wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand 2026 di Bangkok, semalam.
Dalam aksi final stepladder yang berlangsung di Blu-O Rhythm & Bowl Ratchayothin, Nora Lyana menewaskan wakil Singapura, New Hui Fen dengan jumlah 474 jatuhan pin bagi dua permainan, berbanding 353 pin dicatatkan lawannya.
Kemenangan tersebut menyaksikan atlet negara itu meraih gelaran ketiganya dalam kejohanan berkenaan.
Nora Lyana menyifatkan kejayaan itu cukup bermakna, terutama sebagai suntikan keyakinan menjelang saingan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) tahun ini.
Beliau turut mengakui cabaran dihadapi sepanjang kejohanan, khususnya keadaan lorong yang sukar, namun berjaya diatasi dengan baik sehingga melangkah ke pentas akhir.
Pemain berpengalaman itu kini berhasrat untuk mengekalkan momentum positif sepanjang musim, selain mengintai peluang menyerlah pada Kejohanan Asia 2026 yang dijadual berlangsung di Doha, Qatar.
Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan atlet negara untuk bersaing dan mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Sumber Gambar: FB Majlis Sukan Negara