AHAD lepas, media sosial menjadi kecoh apabila Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, dirakam duduk bersama isteri dan anaknya di Arena Porte de La Chapelle semasa perlawanan perebutan pingat gangsa antara pasangan beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dengan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebagai Presiden MOM dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Norza hadir di Sukan Olimpik di Paris bersama ahli keluarganya di kawasan VIP di Arena Porte de La Chapelle. Kehadiran ini diatur melalui kuota khas yang diberikan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Kuota khas ini diperuntukkan khusus untuk pucuk pimpinan badan/majlis atau jawatankuasa Olimpik negara masing-masing atau NOC seperti Presiden dan Setiausaha Agung, Ketua Negara, Ketua-ketua Kerajaan, dan Menteri Sukan. Kuota ini hanya menyediakan akses ke kawasan VIP dan tidak meliputi akses ke padang permainan (FOP), bilik persalinan, atau tempat penginapan atlet di Perkampungan Sukan.

Oleh itu, ia tidak praktikal untuk jurulatih atau kakitangan sokongan menggunakan kuota ini kerana ia tidak memberi akses yang diperlukan untuk menyokong atlet secara efektif. Disebabkan akses yang terhad, pasukan sokongan kepada mana-mana atlet harus diatur di luar akses IOC.

Bertentangan dengan beberapa dakwaan yang tidak berasas, Norza tidak menggunakan dana kerajaan untuk perjalanan keluarganya. Semua perbelanjaan untuk keluarganya dibiayai secara peribadi oleh Norza, dengan MOM dan IOC hanya memudahkan akses. Ini bertujuan memastikan tiada sumber kerajaan digunakan untuk tujuan ini.

Netizen juga perlu memahami dengan lebih mendalam mengenai proses ini. Kehadiran Norza dan keluarganya di Sukan Olimpik adalah berdasarkan kuota khas IOC, yang berbeza dengan peranan jurulatih atau kakitangan sokongan yang memerlukan akses dan kemudahan khusus untuk menyokong atlet.

MOM tidak menidakkan kehadiran jurulatih di Sukan Olimpik; ia adalah dua isu yang berbeza yang harus difahami dengan jelas dan kehadiran mereka mematuhi sepenuhnya peraturan IOC dan MOM.

Pada saat ini, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara paling penting, iaitu menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang mewakili negara di pentas dunia.

Marilah kita bersatu hati dan menyalurkan tenaga kita untuk meraikan pencapaian mereka dan menggalakkan usaha mereka.