KEJAYAAN dicapai jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang di Hong Kong membuktikan pemain itu sedang membara dalam misi memburu pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun dengan perjalanan yang masih panjang, Ketua kontinjen (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu pemenang dua emas keirin dan dua emas pecut di kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong I dan II itu lebih relax dan mengutamakan penjagaan kesihatan.

Azizulhasni menunjukkan pingat keempat dimenanginya di Hong Kong semalam./Pix FB Azizulhasni Awang

“Saya tahu dia (Azizulhasni) dalam keadaan full commitment, proses tu lambat lagi, jangan fikir sangat nak pingat emas itu dan dia perlu redakan tekanan,” kata Hamidin, yang menjalankan tanggungjawab sebagai CDM Olimpik Paris dengan memberi tumpuan kepada atlet-atlet yang dijangka layak ke temasya itu.

Hamidin berkata, menerusi pertemuannya dengan pelumba berusia 35 tahun itu sebelum ini, beliau mengingatkan agar Azizulhasni memberikan tumpuan terhadap kesihatannya dan fokus terlebih dahulu dalam setiap kejohanan disertai sebelum temasya terbesar dunia itu berlangsung.

Hamidin (kanan) mahu Azizulhasni Awang sentiasa menjaga tahap kesihatannya.

“Saya sudah beberapa kali bertemu dengan Azizulhasni selain Muhammad Shah Firdaus dan ketua jurulatih John Beasley. Saya sudah bercakap dengan mereka terutamanya Azizulhasni buat sementara ini tumpukan kepada kesihatan dan fokus satu persatu kejohanan.

“Jangan ingatkan sangat mengenai pingat emas kerana ini bukan masa untuk fikirkan. Jadi, ini untuk redakan tekanan dia.

“Saya harap media juga memainkan peranan kerana dia dalam keadaan komitmen yang penuh untuk pergi, jadi dia pun faham. Jurulatih pun gembira, Road to Gold itu lambat tetapi ini adalah prosesnya,” kata Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Azizulhasni yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ sekali lagi menjadi sandaran Malaysia bagi memenangi emas di Paris selepas berjaya meraih perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelumba kelahiran Terengganu itu yang disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) bersama Shah Firdaus, bakal membolehkan mereka mendapat bantuan secukupnya bagi merealisasikan impian meraih emas di Paris.

Azizulhasni menjalani pembedahan jantung pada April tahun lalu, kini menghampiri kemuncak prestasinya berdasarkan beberapa kejayaan yang dicapai termasuklah meraih empat pingat emas masing-masing dalam acara keirin dan pecut dalam kedua-dua siri perlumbaan Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong yang berakhir, Ahad lalu.

Sebelum itu, beliau turut berjaya meraih perak acara keirin di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta, Februari lalu.

Azizulhasni dan Shah Firdaus selepas ini akan mengalihkan fokusnya bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Asia yang akan berlangsung di Velodrom Nilai bermula dari 14 hingga 19 Jun ini.