Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam menganjurkan majlis makan malam penghargaan buat skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, bagi meraikan kejayaan meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Majlis yang berlangsung di Passage Thru India, Bukit Bintang bagi menghargai komitmen, pengorbanan serta usaha seluruh pasukan dalam membawa cabaran Malaysia di pentas Asia, dihadiri oleh Datuk Ir. Azmi Md Yusof, Chief Global Business Solutions Officer Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dr. Vellapandian Ponnusamy, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), wakil pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), Pengurusan Tertinggi KHM, pemain, dan barisan kejurulatihan, serta kakitangan KHM.
Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian tersebut, seramai 20 pemain dan 8 pegawai pasukan masing-masing menerima insentif kemenangan dengan jumlah keseluruhan insentif yang disalurkan sebanyak RM160,000.
KHM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TNB selaku penaja utama dan rakan strategik yang sentiasa komited menyokong pembangunan hoki negara, termasuk perjalanan Speedy Tigers dalam menghadapi cabaran di pentas antarabangsa.
Sokongan berterusan TNB mencerminkan keyakinan terhadap potensi hoki Malaysia untuk terus berkembang, meningkatkan daya saing dan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Kerjasama erat ini turut menjadi antara pemangkin kepada usaha KHM dalam memperkukuh pembangunan sukan hoki serta memastikan pasukan kebangsaan mendapat sokongan yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata kejayaan meraih pingat perak itu merupakan hasil usaha berpasukan yang menuntut komitmen, disiplin, penat lelah dan pengorbanan tanpa berbelah bahagi daripada semua pihak.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Speedy Tigers yang membuktikan kemampuan Malaysia untuk bersaing di peringkat tertinggi, selain menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian bermakna buat hoki negara.
“Pingat perak ini merupakan satu kebanggaan buat Malaysia dan seluruh keluarga hoki negara. Ia bukan sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya hasil usaha, penat lelah, disiplin serta pengorbanan yang diberikan oleh setiap pemain, barisan kejurulatihan dan anggota sokongan demi membawa cabaran negara.
“Saya amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan. Dalam sejarah Sukan Asia selama 75 tahun telah berlangsung, ini pingat perak ketiga Pasukan Hoki Lelaki Malaysia (2010, 2018 dan 2026). Sudah tentu pencapaian ini membawa makna yang besar kepada KHM serta perkembangan hoki negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut perlu dijadikan pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi pasukan dan memburu lebih banyak kejayaan dalam kejohanan antarabangsa akan datang.
Speedy Tigers selepas ini akan memberikan tumpuan kepada dua kejohanan antarabangsa, iaitu Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Punjab, India, dan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2026 di Ipoh, Perak.
Cabaran turut dilontarkan oleh Datuk Seri Subahan Kamal kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan untuk mencipta kejutan, menewaskan Pasukan India di laman mereka sendiri pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia yang akan bermula 27 Oktober hingga – 5 November di Jalandhar dan Mohali.
Dalam masa yang sama, KHM akan terus memperkukuh persiapan pasukan bagi menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik 2028 yang dijadualkan berlangsung pada 2027. Persiapan rapi akan dirangka bagi memastikan Speedy Tigers berada pada tahap terbaik, sekaligus merealisasikan impian untuk melihat Malaysia kembali beraksi di pentas Sukan Olimpik.
KHM turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan, kerjasama dan bantuan berterusan dalam membantu pasukan hoki kebangsaan menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.
Penghargaan turut diberikan kepada semua penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang Speedy Tigers, memberikan sokongan dan terus mempercayai kemampuan pasukan untuk bersaing di pentas tertinggi.
KHM berharap sokongan padu daripada semua pihak akan terus menjadi pembakar semangat kepada Speedy Tigers untuk mempertingkat prestasi, memburu lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia dalam arena hoki antarabangsa.