BEKAS pemain Manchester United, Patrice Evra, mendedahkan bahawa bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, pernah menolak peluang untuk menyertai Arsenal, Chelsea, dan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum menyertai Juventus pada 2018.
Menurut Evra, Ronaldo secara tegas menyatakan bahawa dia tidak akan pernah menyertai pasukan Arsenal.
Ketika itu, Ronaldo yang sedang mencari cabaran baharu selepas meninggalkan Real Madrid, menerima tawaran daripada beberapa kelab elit termasuk PSG, Chelsea, dan Juventus.
![](https://www.flashsukan.com.my/wp-content/uploads/2024/12/r388110_1296x729_16-9-1000x563.jpg)
Patrice Evra (kanan) dan Cristiano Ronaldo (kiri) memainkan peranan penting dalam membantu Manchester United meraih beberapa kejayaan besar ketika dahulu.
“Adakah Cristiano pernah mahu ke PSG? ya ada Paris, Arsenal… Itu sebelum dia menandatangani kontrak bersama Juventus pada 2018.
“Dia juga mendapat tawaran daripada Chelsea, Juventus, dan Paris tetapi dia berkata dia tidak akan pernah ke Arsenal,” kata Evra dalam satu wawancara bersama RMC Sport.
Tambahnya lagi, Ronaldo pernah menunjukkan minat terhadap projek yang ditawarkan PSG pada ketika itu.
“Dia berminat dengan projek di Paris, anda boleh mengkritik Cristiano, tetapi dia akan menyesuaikan dirinya.
“Dia akan berusaha keras dan lihat sahaja apa yang dia lakukan di Arab Saudi. Dia kini seorang Saudi,” tambah Evra.
![](https://www.flashsukan.com.my/wp-content/uploads/2024/12/d67a8c7a-f892-42db-9241-f8b1ee243849.jpeg)
Khabar bahawa Cristiano Ronaldo berpindah untuk bermain di Arab Saudi bersama Al-Nassr pada penghujung 2022 dianggap sebagai salah satu berita bola sepak paling tergempar dalam dunia sukan.
Cristiano Ronaldo, yang sudah berusia 39 tahun, telah mencipta kerjaya gemilang dengan bermain untuk beberapa pasukan terbesar dunia serta memenangi hampir semua trofi yang ada.
Walaupun tidak memilih Arsenal, PSG atau Chelsea, namanya tetap akan dikenang sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman.