LAMAN analisis bola sepak Opta Analyst yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia telah meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga ke-573 dengan rating sebanyak 71.80 mata.
Berdasarkan tinjauan di laman Twitter mereka, Harimau Selatan mempunyai ranking yang lebih tinggi berbanding juara Liga Perdana Inggeris tahun 1995, Blackburn Rovers dan juga kelab Sepanyol Real Zaragoza.
Antara kelab Asia Tenggara lain yang ditunjukkan di laman itu adalah dua kelab Indonesia, Persib Bandung dan Persija Jakarta yang masing-masing di tangga ke-1,798 dengan 63.74 mata dan di tempat ke 2,724 dengan 59.80 mata.
Untuk kelab dari liga paling popular dunia, Liga Perdana Inggeris pula Manchester City ditangga kedua, Liverpool kelima, Arsenal ketujuh dan Manchester United di tangga kelapan.
Gergasi Jerman, Bayern Munich menduduki tempat pertama dengan 100.00 mata, Barcelona di tangga ketiga dengan 95.04 manakala pendahulu terkini Serie A, Napoli di tangga kelima dengan 94.81 mata.
Real Madrid pula ditangga keenam dan Inter Milan ditempat kesembilan manakala kelab Lionel Messi dan Kylian Mbappe, Paris Saint Germain melengkapkan 10 kelab teratas.
Usaha JDT dalam memartabatkan pasukan dari Liga Super Malaysia dilihat semakin mendapat perhatian dunia bola sepak dan ranking ini adalah salah satu bukti penguasaan JDT terutama di Malaysia dan Asia Tenggara.