PERTAHANAN import Terengganu FC, Pape Diakite membuat pendedahan bahawa dia tidak mahu meninggalkan skuad Terengganu sebaliknya dia tidak ditawarkan kontrak oleh pengurusan pasukan.

Pemain berasal dari Senegal itu mendedahkan perkara ini menerusi laman sosial peribadinya sejurus pengumuman yang dibuat oleh kelab mengenai khidmatnya dan 11 lagi pemain tidak diperlukan untuk musim 2023.

Dia yang menyertai Terengganu dari Vietnam adalah antara tonggak utama skuad Penyu dibawah kendalian bekas jurulatih, Nafuzi Zain dengan berjaya membantu Terengganu muncul naib juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super sekaligus layak ke Piala AFC musim 2023/2024.

“Kepada semua penyokong Terengganu FC, saya mahu semua orang mengerti bahawa saya secara peribadi tidak mahu meninggalkan kelab ini. Secara realitinya saya masih belum menerima apa-apa tawaran daripada kelab,” tulisnya di laman sosial peribadinya.

Hantaran menerusi media sosial ini mendapat reaksi sedih daripada penyokong Terengganu yang nyata berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan ketika mengawal benteng pasukan sepanjang musim.

Rekod Pape di Terengganu musim ini.

Sebagai rekod, Diakite membuat 31 penampilan musim lalu dengan 2,770 minit permainan dan berjaya mencatat 13 ‘clean sheet’ menjadikan Terengganu FC sebagai pasukan kedua dibolosi paling sedikit dalam Liga Super.

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu FC sahkan kontrak 12 pemain tidak disambung