SKUAD ragbi lelaki bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan perlu meningkatkan disiplin dalam permainan ketika berdepan Taiwan esok selepas tewas besar 9-43 kepada Hong Kong, pada aksi Kejohanan Ragbi Asia B-19 Lelaki, di Padang Astaka, Petaling Jaya pada Isnin.

Ketua jurulatih Mohd Irwan Abdol berkata, gagal mengekalkan penguasaan bola ketika menentang Hong Kong, sekali gus gagal memenangi set pis.

“Sebenarnya pemain kita juga tiada pengalaman bermain di pentas tertinggi dan rata-rata pemain gagal membuat keputusan baik sehingga hilang penguasaan.

“Jadi kita gagal mendapatkan set pis seperti line put dan scrum,” kata Mohd Irwan.

Begitupun, MOhd Irwan berkata, pasukan menunjukkan  peningkatan dalam beberapa aspek terutamanya pertahanan.

Aksi skuad remaja B-19 lelaki ketiak menentang Hong Kong kelmarin.

“Kita dapat lihat keupayaan pemain untuk bertahan dan mengekang Hong Kong yang memeliki kelebihan dari segi fizikal. Saya berharap agar pengalaman berdepan Hong Kong membantu skuad negara menghadapi Taiwan esok,” katanya.

Justeru katanya, fokus utama menentang Taiwan esok adalah memastikan pemain mengekalkan penguasaan bola terutamanya dari set pis seperti ketika ‘line out’ dan scrum.

“Saya dan pemain juga sudah meneliti video analisa dan tahu apa yang perlu pemain lakukan esok,” kata Mohd Irwan.

Menurut Mohd Irwan, seorang pemain, Aiman Naim Azlan berkemungkinan tidak dapat diturunkan selepas berdepan kecederaan gegaran kepala gara-gara pertembungan dengan pemain Hong Kong.

Esok (Khamis) adalah perlawanan terakhir buat pasukan negara manakala Taiwan akan berdepan Hong Kong pada 18 Disember ini untuk perlawanan terakhir.