NAIB juara Piala FA 2022, Terengganu FC hari ini mengesahkan tidak menyambung kontrak 12 pemainnya bagi menghadapi musim Liga Malaysia 2023.

Pengumuman ini dibuat menerusi hantaran yang dilakukan di media sosial rasmi kelab sekaligus menamatkan desas-desus status beberapa pemain yang dikhabarkan sudah dirisik pasukan lawan.

Selepas berpisah dengan Nafuzi Zain dan mengumumkan Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali baharu, TFC dilihat melakukan pembaharuan skuad sebagai persediaan mengharungi musim baharu dan juga kempen Piala AFC.

 

Tujuh pemain tempatan, Sharmiza Yusof, Hafizal Alias, Arif Anwar, Nik Akif Syahiran, Sharin Sapien dan Azalinullah Alias serta kapten pasukan kebangsaan, Faisal Halim disahkan meninggalkan skuad penyu.

Lima pemain import, Pape Diakite, Kpah Sherman, Tchetche Kipre, Petrus Shitembi juga tidak lagi diperlukan dan mereka kini bebas untuk mencari pasukan lain seperti yang dilakukan Manuel Ott yang menyertai Kedah Darul Aman FC.

“Terengganu FC hari ini ingin mengumumkan 12 orang pemain yang bakal meninggalkan pasukan ini bagi saingan musim hadapan. Kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala jasa mereka selama bersama kelab ini dan selamat maju jaya diucapkan untuk karier mereka seterusnya.

Kemanakah destinasi seterusnya untuk Faisal Halim ?

“Sememangnya penghijrahan para pemain adalah lumrah biasa dalam bolasepak namun kami berharap kenangan bersama kelab ini dapat kita kenang bersama dan para pemain dapat sentiasa merasakan darah hitam putih sentiasa mengalir didalam diri anda,” tulis kenyataan itu.

Menerusi pengumuman ini, Terengganu FC dijangka akan menandatangani beberapa muka baharu termasuk pemain import yang bersesuaian dengan taktikal dan kehendak pengendali baharu dalam proses pembaharuan skuad.

Sementara itu, Steinbruckner mengesahkan akan ‘menaikkan pangkat’ sekurang-kurangnya enam pemain TFC II ke pasukan utama untuk musim depan.

Pertahanan serba boleh, Safwan Mazlan, Aqil Irfanudin Sabri, Muhd. Firdaus Rosdi dan pemain sayap, Wan Mohd. Fazli Wan Ghazali antara yang berjaya mencuri perhatian bekas pengarah teknikal itu.

Selain itu dua lagi penjaga gol, Syed Muhamad Nasrulhaq Syed Bidin dan Mohd. Shafawi Mohammad turut bakal membarisi skuad senior TFC yang akan mengharungi Piala AFC musim depan.

“Falsafah bola saya sama dengan bekas jurulatih (Nafuzi Zain) dengan corak permainan moden serta penguasaan bola dan pemain muda merupakan DNA pasukan ini sejak sekian lama.

“Apa yang penting kami perlu mencari pengganti yang setara atau lebih baik lagi berbanding pemain yang meninggalkan TFC sekiranya mahu mengulangi pencapaian tahun ini,” jelas Steinbruckner.