KEKALAHAN di pusingan pertama Terbuka Hong Kong pada Selasa, terus menimbulkan tanda tanya kepada prestasi beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Beregu pilihan utama itu tampil longlai sebelum tunduk mudah 13-21, 13-21 kurang setengah jam kepada gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy.
Situasi itu mengundang kebimbangan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi yang melihat prestasi anak buahnya semakin merosot.
“Memang kondisi Aaron-Wooi Yik menunjukkan penurunan dan ia dapat dilihat sejak Kejohanan Dunia di Paris lagi,” kata Herry ketika dihubungi Flash Sukan.

Kekalahan awal yang memberi petanda sejauh mana prestas Aaron-Wooi Yik ketika ini.
Beliau mengakui permainan pasangan No.2 dunia itu penuh dengan kesilapan mudah yang jelas menguntungkan lawan.
“Dari satu sudut, memang saya risau dengan prestasi mereka tetapi dari sudut lain, ini peluang buat beregu lain buktikan kemampuan,” tambahnya.
Tersingkir di Hong Kong bermakna Aaron-Wooi Yik sudah lima kali tumbang di pusingan pertama musim ini termasuk di Orleans Masters, All England, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.
“Teknik permainan mereka menurun jika dibandingkan ketika saya mula melatih mereka, dan faktor angin bukan alasan untuk kekalahan ini,” ujar Herry yang digelar Naga Api.