Skuad hoki remaja negara, Young Tigers memulakan kempen Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan China 3-0 dalam aksi pembukaan, hari ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Kapten pasukan, Nabil Irfan Mohd Yusof muncul watak penting apabila meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelima dan ke-28 untuk memberikan kelebihan buat skuad kendalian Nor Saiful Zaini.
Malaysia bagaimanapun mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun kegagalan menyudahkan kesempatan terhidang menyaksikan mereka hanya mendahului dua gol pada separuh masa pertama.
Bersambung selepas rehat, Young Tigers terus berusaha mencari gol tambahan sebelum Aferull Syah memastikan kemenangan 3-0 menerusi jaringan padang pada minit ke-57.
Kemenangan itu menjadi permulaan positif buat Malaysia dalam usaha memburu kejayaan pada kejohanan berkenaan, meskipun masih terdapat ruang untuk memperkemas penyudah di hadapan gawang lawan.
Young Tigers kini bakal mengalihkan tumpuan kepada perlawanan kedua menentang Jepun pada Selasa ini, dengan cabaran dijangka lebih sengit selepas pasukan itu membelasah Kanada 8-1 dalam aksi pembukaan semalam.