SELEPAS meraih gelaran pertama tahun ini di Terbuka Arctic, Vantaa, Finland pada Ahad pasti, ia pastinya sesuatu yang melegakan dan menaikkan keyakinan Lee Zii Jia serta pelbagai pihak, namun ujian sebenar menantinya sepanjang minggu ini.
Pemain ranking ke-14 dunia itu akan membuka gelanggang saingan Terbuka Denmark, esok (Selasa) menjadi medan penentuan sejauh mana dia mampu konsisten.
Mengikut undian, Zii Jia akan berdepan ujian lebih getir apabila memulakan aksi di Odense menentang pemain India, Priyanshu Rajawat di pusingan pertama dan jika menang dijangka membuat perhitungan dengan jaguh tuan rumah yang juga pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen di pusingan kedua.

Lee Zii Jia semakin memahami corak permainan yang perlu dikekalkannya.
Axelsen dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua apabila diundi bertemu rakan senegara, Magnus Johannesen di pusingan pertama.
Keputusan di Terbuka Denmark akan menjadi bukti ‘penting’ betapa Zii Jia sudah benar-benar kembali berada pada tahap terbaiknya yang turut menyaksikan dia muncul naib juara pada edisi Terbuka Denmark tahun lalu.
Zii Jia yang bergelut dengan prestasi tidak menentu sebelum ini berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 bulan dengan menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong di final Terbuka Arctic.

Persefahaman antara Lee Zii Jia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng bertambah baik.
Kali terakhir bergelar juara, adalah ketika menjuarai saingan Terbuka Thailand pada Mei tahun lalu.
“Pertama sekali, saya perlu berterima kasih kepada keluarga, pasukan saya (Team LZJ) dan peminat yang sentiasa memberi sokongan padu kepada saya. Biarpun saya bergelut, namun mereka tidak pernah berputus asa dengan saya.
“Saya mahu berkongsi kejayaan ini dengan mereka semua,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi final menentang Tze Yong.
Ia adalah pertemuan kedua antara dua pemain negara itu selepas kali pertama dimenangi Zii Jia di suku akhir Terbuka Australia, Ogos lalu.

Lee Zii Jia lebih bersabar dan berpegang teguh kepada kekuatan permainannya.
Tidak seperti di Terbuka Australia yang menyaksikan pertarungan sengit antara kedua-dua pemain, di Terbuka Arctic kali ini menyaksikan Zii Jia lebih unggul berbanding Tze Yong.
“Kunci kemenangan saya adalah kekal sabar. Seperti saya katakan sebelum ini, setiap hari keadaannya berbeza, saya gembira dapat memenangi perlawanan.
“Saya dan Tze Yong pernah menjadi rakan sepasukan ketika saya dalam skuad kebangsaan. Kami sudah berlatih bersama untuk tempoh yang lama dan melihat dia menjadi pemain utama dunia adalah sesuatu yang membanggakan.
“Saya percaya ia sesuatu yang boleh dibanggakan apabila Malaysia kini mempunyai dua pemain perseorangan lelaki dalam kelompok 20 terbaik dunia. Diharapkan kami boleh mengekalkan momentum ini,” kata Zii Jia.