GANDINGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memulakan kempen di Eropah Utara dengan penuh bergaya apabila muncul juara Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, namun itu bukan pengakhiran.

Pasangan pilihan utama negara itu menampilkan aksi bertenaga sepanjang kejohanan, sekali gus menebus kekecewaan mereka dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini.

Thinaah mengakui kemenangan 21-7, 21-9 ke atad Rin Iwanaga-Kei Nakanishi itu cukup bermakna selepas mereka berjaya mengekalkan fokus dan semangat juang tinggi hingga ke mata terakhir.

“Kami sangat gembira dengan prestasi hari ini, dan sepanjang perlawanan kami saling mengingatkan serta menyokong antara satu sama lain,” kata Thinaah.

Katanya lagi, kejayaan itu bukan sekadar ganjaran fizikal, tetapi bukti kepada kesabaran dan kerja keras mereka selama ini di gelanggang latihan.

Pearly dan Thinaah turut mengambil kesempatan meraikan kejayaan itu dengan santai selepas perlawanan sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka.

“Selepas ini kami akan menikmati hidangan enak untuk meraikan kemenangan, sebelum kembali fokus menghadapi Terbuka Denmark,” tambahnya.

Dengan keyakinan kembali pulih, Pearly-Thinaah kini bersedia membawa momentum kemenangan dari Finland ke pentas lebih besar di Odense, bermula esok.