PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MAS) mengumumkan inisiatif khas bagi membantu atlet dan pegawai pasukan Kategori B ke Sukan SEA 2025 di Thailand dengan menanggung sebahagian kos perjalanan mereka.
Menerusi keputusan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif MAS pada 5 Oktober lalu, badan induk itu akan menaja 50 peratus kos penginapan penuh dan tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Bangkok bagi semua atlet Kategori B.
Dalam masa sama, MAS turut menanggung sepenuhnya (100 peratus) perbelanjaan bagi semua pegawai pasukan Kategori B merangkumi lima disiplin renang iaitu renang, terjun, renang artistik, polo air dan renang perairan terbuka.

Seramai 82 atlet dan pegawai pasukan dikenal pasti akan menerima manfaat daripada inisiatif itu yang bertujuan meringankan beban kewangan peserta.
Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah itu menunjukkan komitmen berterusan pihaknya memastikan kontinjen Malaysia kekal kompetitif di pentas serantau.
“Sukan SEA 2025 menjadi platform penting untuk pembangunan atlet, pembinaan semula pasukan dan persiapan strategik menjelang Malaysia menjadi tuan rumah edisi 2027,” katanya dalam satu kenyataan.
MAS percaya inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan atlet, tetapi turut memperkukuh kehadiran Malaysia dalam semua acara akuatik pada temasya berprestij itu.