TIDAK wujud “mutual understanding” yang dinyatakan Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk V Subramaniam pada sidang media Jumaat lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan Datuk Misbun Sidek pada sidang media khas “The Untold Story” bagi menjelaskan situasi sebenar pemecatannya sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan remaja kebangsaan, dari badan induk badminton negara itu.

Misbun memberitahu, sidang media itu bukan bertujuan mahu mendapatkan balik kedudukannya di BAM, namun berasakan kenyataan dibuat Subramaniam tidak tepat.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, pada sidang media mengumumkan penamatan kontrak Datuk Misbun Sidek di Akademi Badminton Malaysia, Jumaat lalu.

“Semua keputusan sudah diatur. Kata saya terima tetapi sebenarnya tidak. Padahal, ia tidak diulas atau dibentang secara keseluruhan.

“Pada mesyuarat tempoh hari (Rabu), saya dan jurulatih lain dipanggil membentangkan laporan prestasi pemain. Selepas itu saya diminta keluar sebelum dipanggil masuk semula ke dalam bilik mesyuarat dan dimaklumkan saya tidak perlu lagi datang kerja esok.

“Saya diberhentikan serta merta atas alasan tidak berjaya… Rasa terkilan dan kecewa, tiada pembelaan yang boleh saya buat.

“Apa salahnya jika mereka bagi saya peluang teruskan hingga Kejohanan Dunia… Tinggal beberapa bulan lagi tapi saya tidak diberi ruang untuk bercakap dan berunding,” kata Misbun, pada sidang media di Serasa Garden, Taman Melawati.

Ujar legenda berusia 63 tahun itu, dia tidak dapat menerima hakikan dijadikan ‘kambing hitam’ dek kegagalan seluruh skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia, di Yogyakarta, Indonesia dua minggu lalu, sedangkan tanggungjawabnya hanya ke atas pemain perseorangan.

“Walhal saya hanya jaga single (perseorangan. Kenapa pula saya menjadi sasaran atas kegagalan seluruh pasukan.

“Kenapa saya pula jadi sasaran sedangkan beregu juga tidak berjaya.

Datuk Misbun Sidek mempersoal dari mana datangnya persetujuan bersama.

“Kalau modul saya oputdated (ketinggalan zaman, tapi saya sudah buktikan saya lahirkan tiga pemain nombor satu dunia (Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Wong Choong Hann), saya guna modul yang sama,” kata beliau.

Misbun turut mendedahkkan, berdepan tugas sukar melaksanakan program latihan yang sudah disusun kerana wujud campur tangan pengurusan.

Jumaat lalu, BAM mengadakan sidang media mengumumkan bahawa BAM mencapai kata sepakat dengan Misbun untuk menamatkan kontraknya selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Kebangsaan lebih awal berbanding kontraknya yang berakhir hujung tahun ini.