Kredit Gambar: PETER POWELL / AFP
Pengurus Liverpool, Andoni Iraola mengakui skuad kendaliannya masih memerlukan beberapa muka baharu bagi memperkukuhkan pasukan menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) 2026/2027.
Menurut beliau, jendela perpindahan yang masih dibuka memberi ruang kepada kelab untuk terus menilai pemain yang mampu meningkatkan kualiti skuad, terutama selepas beberapa tonggak meninggalkan Anfield dan beberapa lagi masih dibelenggu kecederaan.
Setakat ini, The Reds membawa masuk Jeremy Jacquet dan Victor Munoz, namun kehilangan pemain berpengalaman seperti Mohamed Salah, Andy Robertson dan Ibrahima Konate. Dalam masa sama, Hugo Ekitike, Conor Bradley dan Giovanni Leoni pula belum dapat diturunkan kerana masih menjalani proses pemulihan.
Iraola bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pemain yang ingin dibawa masuk, sebaliknya menegaskan segala keputusan akan bergantung kepada peluang yang tersedia di pasaran perpindahan.
“Sukar untuk menentukan berapa ramai pemain yang kami perlukan ketika jendela perpindahan masih berlangsung. Apa yang penting, kami sentiasa bersedia sekiranya ada peluang mendapatkan pemain yang boleh menguatkan pasukan.
“Beberapa posisi memang memerlukan penambahan, termasuk di bahagian sayap. Bagi posisi lain, kami perlu menilai pemain yang ada di pasaran, nilai perpindahan serta keadaan skuad ketika ini.
“Kami juga mempunyai beberapa pemain yang sedang cedera. Kami yakin dengan kemampuan mereka, tetapi situasi itu sememangnya bukan sesuatu yang ideal,” katanya.
Beliau turut mengakui kehilangan Salah, Robertson dan Konate memberi kesan besar kepada pasukan memandangkan ketiga-tiga pemain itu memainkan peranan penting dalam beberapa musim lalu.
Dalam perkembangan sama, Iraola berharap penjaga gol utama Brazil, Alisson Becker, akan terus kekal di Anfield di sebalik spekulasi mengenai masa depannya.
Katanya, pemain berusia 33 tahun itu bukan sahaja penting di atas padang, malah memainkan peranan besar membantu pemain baharu menyesuaikan diri dengan suasana di kelab.
“Kami memerlukan pemain berpengalaman seperti Virgil van Dijk, Alisson dan Joe Gomez. Mereka menjadi rujukan kepada pemain muda dan banyak membantu dalam membentuk identiti pasukan,” katanya.
Liverpool akan memulakan siri aksi pramusim menentang Sunderland di Nashville pada Sabtu ini sebelum meneruskan jadual persiapan bertemu Wrexham, Leeds United, AS Monaco dan Como.
The Reds dijadual membuka kempen EPL 2026/2027 dengan kunjungan ke gelanggang Newcastle United pada 23 Ogos.