PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memerlukan sekurang-kurangnya RM55 juta setahun untuk menampung kos pengurusan, gaji pemain dan jurulatih serta penyertaan kejohanan antarabangsa.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sehingga November tahun lalu, perbelanjaan badan induk badminton negara itu, sudah hampir RM54 juta dengan dua komponen terbesar melibatkan gaji dan imbuhan pemain serta kos kejohanan.

“Akaun belum ditutup lagi, tetapi sehingga akhir November, jumlah perbelanjaan hampir RM54 juta,” katanya, selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Beliau menegaskan kos gaji, imbuhan dan penyertaan kejohanan membentuk lebih separuh daripada perbelanjaan tahunan, manakala penganjuran kejohanan pula melibatkan kos tinggi tetapi ada pulangan hasil tertentu.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul mengakui BAM masih perlukan tambahan kira-kira 20 peratus hasil bagi menampung keperluan semasa, dengan operasi tahunan dijangka mencecah RM55 juta, malah jumlah itu dijangka meningkat tahun ini.

“Bagi 11 bulan pertama tahun lalu, pendapatan kita melebihi RM50 juta, termasuk bantuan RM5.5 juta daripada kerajaan,” ujarnya sambil menekankan usaha memperkukuh penjenamaan dan pemasaran untuk menarik lebih banyak penaja.

BAM tidak hanya membayar gaji pemain, malah menanggung perbelanjaan dan memberi bonus kemenangan dan ranking.

Beliau menambah BAM sedang melangkah ke arah ketelusan kontrak pemain termasuk pendedahan gaji, bagi mengelakkan salah faham dan memastikan integriti pengurusan badan induk terpelihara.

“Saya tegaskan bahawa, 100 peratus wang kemenangan kejohanan adalah milik pemain sepenuhnya tanpa sebarang potongan atau komisen oleh BAM, dari dulu sampai sekarang,” katanya, sambil menjelaskan salah faham yang kerap timbul dalam kalangan peminat dan orang ramai.