Foto: JDT

PEMAIN paling bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi menganggap peluang untuk bertemu pasukan Eropah bukan sentiasa berlaku dan ini menyebabkan dirinya bersemangat untuk beraksi meskipun menanggung sedikit kesakitan.

Dia yang baru sahaja membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Malaysia kurang 48 jam yang lalu mempamerkan aksi mantap ketika berhadapan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund dalam aksi persahabatan kelab antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim.

Pemain berusia 20 tahun itu juga bersyukur kerana berjaya menjaringkan gol namun dia masih tidak berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan dan mahu meningkatkan lagi prestasi permainannya selepas dapat mempelajari beberapa perkara penting dalam perlawanan itu.

Arif Aiman Hanapi

“Rezeki saya dapat menjaringkan gol bertemu antara pasukan terbaik Eropah. Namun bagi saya, jika begini permainan saya, saya belum berpuas hati. Ini kerana apabila bertemu pasukan sebegini kita mahu mendapatkan seberapa banyak pengalaman kerana mereka sememangnya kuat dengan banyak pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Peluang untuk bermain dalam perlawanan seperti ini sangat jarang berlaku dan walaupun sakit, saya hendak bermain dalam perlawanan ini untuk mengambil pengalaman. Saya dapat belajar bagaimana mereka bermain dengan tenang selain teknik permainan mereka terutama menjaga bola.

“Saya perlu berusaha lebih untuk maju dan tingkatkan permainan saya dari semasa ke semasa serta tidak mudah berpuas hati dengan persembahan saya. Saya terbuka jika ada rezeki untuk bermain di luar tetapi fokus saya sekarang hanyalah untuk JDT.

“Antara perkara yang saya mahu perbaiki adalah dari segi bertahan dan menyerang. Saya mahu menjadi pemain penyerang yang boleh bertahan. Sasaran saya adalah mahu belajar bertahan dengan bola dan tanpa bola dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Arif menggegarkan lebih 33 ribu penyokong JDT apabila berjaya meledak gol ke gawang Borussia Dortmund pada penghujung babak pertama dan dia juga berjaya menarik perhatian jurulatih kelab Jerman itu yang menyatakan dia perlu bekerja lebih keras jika mahu lebih berjaya.