USAHA Perak FC untuk menempah kemenangan bersejarah akan bermula dengan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ipoh pada Khamis.

Selepas berjaya melepasi halangan getir Kedah Darul Aman dan Sabah FC di laluan pusingan kedua dan suku akhir sehingga dilabel sebagai giant killer, satu lagi cabaran menanti anak buah Yusri Che Lah.

Kemenangan ke atas jagoan kelab dari selatan tanah air itu bukanlah perkara mudah memandangkan skuad The Bos Gaurus boleh diumpamakan sebagai pasukan kerdil, namun mampu ‘menggegarkan’ arena bola sepak tempatan.

Sejak 2018 dan kali terakhir menjulang pingat kejuaraan, Perak seringkali kandas dan balik awal tetapi cerita musim ini sedikit berbeza.

Atas kertas semestinya segala aspek kekuatan, kelebihan dimiliki JDT apatah lagi mereka adalah penyandang juara dan memegang status gelaran Liga Super dan Piala FA.

Begitupun, dalam permainan bola sepak khususnya Piala Malaysia sentiasa menghadirkan elemen penuh kejutan dan misteri kepada setiap bertanding.

Diletakkan sebagai pasukan underdog, barisan pemain Seladang pastinya akan berjuang habis-habisan bagi melakar kejutan ke atas JDT walaupun rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini dalam Liga Super menyaksikan Perak bolos 10 gol!

 

Sementara itu, kisah luar padang turut menambat perhatian dan lensa mata peminat. Ia selepas kawalan keselamatan di Stadium Perak terus dipertingkatkan dan diperketat bagi memastikan tiada insiden luar jangka tercetus ketika pertembungan berlangsung di atas padang sepanjang 90 minit.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin dalam kenyataan media memberitahu lebih 300 anggota polis membantu mengawal dan memantau dalam usaha memastikan keadaan keselamatan penyokong kedua-kedua pasukan terjamin.

Justeru itu, FLASH SUKAN berharap perlawanan kali ini berlangsung aman dan penyokong dinasihatkan menjaga tingkah laku selain mengutamakan semangat kesukanan.

Malah, beberapa kali perlawanan di stadium tersebut kita didendangkan di dada akhbar dan media sosial berlaku segelintir pergaduhan antara penyokong Perak dan JDT.

Difahamkan, hanya 25,000 tiket dijual berbanding 28,000 kapasiti atas keselamatan penonton yang hadir pada malam esok.

Bagaimana kesudahan 90 minit yang pertama ? Jumpa anda di Stadium Perak!

Kejor Yob Kejor…