SAINGAN kejuaraan Liga Perdana Inggeris masih jauh perjalanannya, tetapi peluang Manchester City untuk mempertahankan gelaran mereka semakin tipis selepas kekalahan 2-0 kepada Liverpool di Anfield pada Ahad.
Pasukan kendalian Arne Slot kini mendahului City dengan kelebihan 11 mata, satu jurang yang jarang sekali mampu dikejar dalam sejarah liga.
Hanya tiga pasukan sebelum ini pernah bangkit daripada jurang mata sebesar ini untuk memenangi gelaran liga dan dengan prestasi semasa, City kelihatan tidak berupaya menambah rekod tersebut.
Kekalahan ini adalah yang keempat berturut-turut buat City dalam saingan liga, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak Ogos 2008, sebelum era kebangkitan kelab tersebut.
Semua mata tertumpu kepada Mohamed Salah, yang berjaya mencipta peluang untuk Cody Gakpo membuka jaringan dengan satu hantaran menakjubkan.
Selepas itu, Salah berjaya menambah gol kedua menerusi sepakan penalti, menjadikan jumlah sumbangan golnya musim ini kepada 23 dalam semua pertandingan.
Pada usia 32 tahun, Salah masih berada di puncak prestasinya, menjadi pemain kedua tertinggi dalam senarai penjaring dan pembantu gol di liga, masing-masing di belakang Erling Haaland dan Bukayo Saka.
Dalam pada itu, Pep Guardiola kini berada dalam krisis yang belum pernah dialaminya sepanjang karier pengurusannya.
Kekalahan ini menjadikan City gagal menang dalam tujuh perlawanan berturut-turut di semua pertandingan, rekod terburuk Guardiola sepanjang sembilan tahun di Etihad.
Manakala, Arne Slot, terus mencipta sensasi dalam musim debutnya sebagai pengurus Liverpool kerana tidak sekadar mewarisi pasukan hebat daripada Jurgen Klopp, tetapi berjaya membawa pasukan ini ke tahap yang jauh lebih baik.
Dengan kekalahan ini, Manchester City berdepan cabaran terbesar untuk mengejar jurang mata yang semakin melebar dan terus kukuh serta kini menjadi pasukan pilihan utama untuk menjulang kejuaraan.