BINTANG Chelsea, Cole Palmer, mencuri tumpuan selepas berjaya merealisasikan ramalannya sendiri sebelum perlawanan menentang Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, pada Ahad.
Palmer, yang kini menjadi aset penting buat pasukan The Blues, berkongsi satu tangkap layar perbualannya dengan rakan rapatnya, Morgan Rogers, di Instagram.
Dalam perbualan tersebut, Palmer dengan penuh yakin meramalkan bahawa dia akan membawa pulang anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.
Segalanya bermula pada Selasa apabila Rogers, pemain Aston Villa, menghantar mesej berbunyi, “No goals against Villa” (Tiada gol lawan Villa).
Palmer kemudian memberikan jawapan berani pada Jumaat dengan berkata, “Player of the match is coming back with me” (Pemain Terbaik Perlawanan akan saya bawa pulang).
Ramalan Palmer ternyata tepat apabila Chelsea mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Aston Villa.
Palmer sendiri menyumbat gol ketiga untuk pasukannya dalam perlawanan tersebut, sekaligus memastikan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Dengan kemenangan itu, Chelsea kini melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, dua mata mengatasi juara bertahan Manchester City.
Namun, Aston Villa kendalian Unai Emery tidak bernasib baik apabila mereka kini jatuh ke tangga ke-12 liga.
Chelsea dijadualkan bertemu Southampton, yang berada di kedudukan tercorot liga, pada perlawanan seterusnya pada Khamis.