SEMUA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk diturunkan apabila Harimau Selatan melayan kunjungan Buriram United dalam aksi keenam Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

JDT yang tersentak dengan kekalahan kepada Shandong Taishan di tempat lawan minggu lalu perlu bangkit mencipta kemenangan bagi memastikan peluang layak ke peringkat 16 terbaik sebagai lapan pasukan teratas Zon Timur kembali terbuka.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio bagaimanapun yakin para pemainnya akan mempamerkan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri dan tidak melihat perkara ini sebagai tekanan sebaliknya sebagai satu lagi perlawanan yang penting buat mereka.

Bidoglio sedar situasi perlu menang dan yakin pemainnya mampu menyerap tekanan

“Perlawanan ini adalah sangat penting buat kelab dan pemain-pemain berada dalam keadaan yang baik untuk beraksi dan apa yang penting adalah kami perlu fokus kepada diri sendiri dan tunjukkan potensi kami di laman sendiri.

“Kami perlu mendapatkan tiga mata kerana JDT sangat kompetitif di ACL Elite dan kami akan bermain dengan filosofi kami iaitu menyerang dan bermain dengan tekanan yang tinggi. Kami telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini dan mahu layak ke peringkat seterusnya dengan meriah kemenangan.

“Pemain-pemain sudah biasa bermain di bawah tekanan dalam pelbagai kejohanan dan mereka juga tahu ini perlawanan yang penting hinggakan semua mereka mahu bermain dan saya gembira kerana mempunyai banyak pilihan.

Kesemua pemain JDT berada pada tahap terbaik untuk hadapi Buriram United

“Kami menerima banyak kad kuning dalam perlawanan sebelum ini namun semua pemain bebas dari penggantungan dan saya perlu memilih 11 pemain dari 30 pemain dan ini adalah situasi yang baik buat pasukan,” katanya dalam sidang media selepas pra perlawanan.

Selepas berakhir lima perlawanan peringkat liga, JDT dan Buriram United masing-masing mengumpul tujuh mata namun Harimau Selatan unggul di tangga kelima manakala juara Thailand itu kini ditangga kesembilan.