BEKAS pengurus Manchester United, David Moyes membuat kepulangan sensasi ke Everton selepas kelab itu memecat Sean Dyche.
Everton secara rasmi mengumumkan pelantikan bekas pengurus mereka yang pernah membimbing pasukan itu selama 11 tahun, dari 2002 hingga 2013 pada Sabtu.
Pelantikan Moyes ini hadir sejurus selepas The Friedkin Group, pemilik baharu Everton, menyelesaikan pengambilalihan kelab tersebut bulan lalu.
Langkah drastik mereka menyingkirkan Dyche adalah hasil daripada prestasi buruk Everton, dengan hanya satu kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir yang menyaksikan pasukan itu kini berada di tangga ke-16 liga, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.
Moyes, yang meninggalkan West Ham pada penghujung musim lalu, kini diberi tugas berat untuk mengangkat kembali prestasi Everton.
Justeru, penyokong berharap pengalaman luas Moyes dapat membantu memperbaiki kedudukan kelab di Liga Perdana Inggeris, selain memberikan keyakinan baharu kepada pasukan menjelang perpindahan mereka ke stadium baharu musim depan.
Dalam tempoh 11 tahun bersama Everton sebelum ini, pengendali berusia 61 tahun itu mencatat beberapa pencapaian membanggakan, termasuk membawa pasukan itu ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah pada 2005 dan mara ke perlawanan akhir Piala FA pada 2009.
Perlawanan pertama Moyes dalam era kedua di Goodison Park dijangka berlangsung pada hari Khamis ini menentang Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Dengan kembalinya Moyes sudah pasti menjadi perhatian peminat Everton yang menginginkan perubahan positif selepas tempoh sukar di bawah kendalian Dyche.
Diharap Moyes mampu mengulangi keajaiban masa lalu, sekaligus mengembalikan kestabilan dan semangat di Goodison Park.