DUA pelumba yang membawa nama Malaysia ke Kejuaraan Dunia Superbike (WBSK) dan Kejuaraan Dunia Supersport (WSSP), Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin berharap agar kejuaraan ini akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang dalam waktu yang terdekat.

Kedua-dua pelumba ini teruja sekiranya kejuaraan ini dapat dilangsungkan di Sepang kerana ianya adalah sebagai daya penarik dan juga hadiah buat peminat sukan permotoran tempatan serta peluang buat mereka menunjukkan aksi hebat di depan penyokong sendiri.

Hafizh dan Adam berkata demikian ketika ditemui di majlis menandatangani kontrak penajaan bersama MKA Group yang akan menyaksikan jenama RCB akan menjadi penaja seluruh musim kepada kedua-dua pelumba ini.

 

“Sebagai pelumba tempatan, sudah tentu saya mahu kejuaraan ini kembali ke Sepang sejak kali terakhir diadakan pada 2016 dan pihak berkenaan perlu melakukan perbincangan untuk menjadikan Sepang sebahagian daripada kalendar Kejuaraan Dunia Superbike ini,” kata Hafizh dalam sidang media.

Adam juga senada dengan pendapat Hafizh yang menyatakan Sepang adalah sebuah litar yang baik dan ianya mampu menjadi medan terbaik untuk mempromosikan sukan ini serta boleh dianggap hadiah kepada peminat sukan ini di Malaysia

“Saya sendiri mempunyai jumlah perbatuan yang banyak di Litar Sepang dan saya gembira jika ianya kembali menganjurkan sukan ini kerana ianya juga boleh digunakan untuk mempromosikan sukan ini selain boleh dianggap sebagai hadiah buat para peminat sukan permotoran tempatan,” jelas Adam.

 

Sementara itu Ketua Jenama dan Komunikasi Kumpulan MKA Group, Faizal Ismail pula berkata syarikat itu teruja untuk menaja Hafizh Syahrin dan Adam Norrodin dalam perlumbaan WSBK dan WSSP dan berharap kedua-dua pelumba ini dapat mempamerkan aksi terbaik mereka sepanjang musim 2023 ini.

Selain itu, Hafizh dan Adam juga akan bertindak sebagai duta dalam perkembangan produk syarikat berdasarkan pengalaman yang mereka ada ketika berlumba di atas mahupun di luar litar.

“Syarikat kami teruja untuk menyokong perlumbaan Hafizh Syahrin dan Adam Norrodin di perlumbaan Kejuaraan Dunia Superbike kategori 1000cc dan Kejuaraan Supersport Dunia kategori 600cc untuk musim 2023.

“Kami yakin kedua-dua pelumba akan memberikan aksi terbaik dalam perlumbaan musim ini selain mereka juga akan menjadi duta dalam perkembangan produk kami berdasarkan pengalaman yang ada pada mereka yang bersifat organik,” jelasnya.

Hafizh Syahrin akan bersaing dalam WBSK buat tahun kedua bersama pasukan MIE Honda Racing manakala Adam Norrodin pula melakukan debutnya dalam WSSP bersama pasukan Petronas MIE – MS Racing Honda Team dengan perlumbaan pertama dari 12 perlumbaan akan bermula di Litar Phillip Island Australia pada 25 Februari 2023.