SKUAD Penang FC bersedia mengharungi kempen Liga Malaysia 2024-25 dengan gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan skuad Harimau Kumbang.

Pasukan kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu telah mengumumkan beberapa pemain muda yang dibawa naik dari skuad Piala MFL dimana Akmal adalah jurulatih pada musim lalu.

Menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab, Penang FC mengesahkan tujuh pemain muda dibawa naik ke skuad senior termasuk penyerang muda, Alif Ikmarizal dan Izzat Zikri yang sudah bermain dalam skuad utama sejak musim lalu.

Harimau Kumbang juga mengekalkan khidmat Muhammad Adib Raop dan Al Hafiz Hamzah sebagai pemain senior yang bakal menjadi mentor buat para pemain muda.

Akmal ketika dihubungi FLASH SUKAN mengakui skuadnya musim ini akan dibarisi campuran pemain baharu dan berpengalaman untuk membentuk satu skuad yang mantap selaras dengan bajet yang diperuntukkan buat kelab.

Dia juga mengesahkan buat masa ini Penang FC hanya akan menggunakan tiga pemain import sahaja dengan dua pemain baharu serta mengekalkan kapten pasukan, Rafael Vitor.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Penang FC melakukan rombakan besar-besaran untuk musim 2024-25 dengan fokus lebih ditumpukan pada kekuatan kewangan selain mahu memberikan peluang buat muka-muka baharu untuk mendapat tempat dalam pasukan.