WAKIL dari pengurusan Perak FC berkunjung ke rumah keluarga Allahyarham Izzwan Syamel Denial Ismail dan Muhammad Faiz Bazli Abdul Hamid yang terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas tamat perlawanan Liga Super di Ipoh tempoh hari.

Kedua-dua Allahyarham adalah penyokong tegar Perak FC dan juga merupakan ahli kepada The Supporters.

Memetik Facebook Perak FC, wakil pengurusan Perak FC juga telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga mereka.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.

Media melaporkan, dua penyokong bola sepak Perak maut dalam nahas tiga motosikal berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan arah utara (Bercham-Jelapang).

Dalam kemalangan sekitar jam 1 pagi itu, kakitangan swasta, Faiz Bazli, 25, dan pelajar, Syamel Denial, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku semasa kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Chemor dan Bercham selepas menyaksikan perlawanan antara Perak dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak.