Ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpuas hati dengan kemenangan 3-0 ke atas China dalam aksi pembukaan Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 semalam, namun mengakui kelemahan penyudah perlu segera diperbaiki menjelang pertemuan menentang Jepun esok.
Beliau berkata, kegagalan menyempurnakan peluang yang dicipta boleh membawa kesan besar terhadap kedudukan Young Tigers sekiranya terikat mata dengan pasukan lain pada penghujung peringkat kumpulan.
“Kita dapat tiga mata dan saya berpuas hati. Cuma saya tidak puas hati kerana terlalu banyak peluang gol yang kita lepaskan.
“Jika kita seri menentang Jepun nanti, jumlah jaringan mungkin menjadi penentu. Mereka sudah menjaringkan lapan gol, jadi kita perlu menang menentang Jepun,” katanya.

Ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Nor Saiful Zaini
Jepun memulakan kempen dengan kemenangan besar 8-1 ke atas Kanada, sekali gus meletakkan cabaran lebih getir buat skuad kendalian Nor Saiful dalam aksi kedua yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.
Walaupun kecewa dengan ketumpulan penyudah, Nor Saiful tetap memuji persembahan keseluruhan anak buahnya yang menunjukkan perkembangan positif, terutama dari segi struktur dan kefahaman taktikal.
Menurutnya, corak permainan yang semakin menyerupai skuad kebangsaan mampu membantu pemain muda itu menyesuaikan diri dengan lebih mudah apabila melangkah ke peringkat senior kelak.
“Selebihnya, saya gembira dengan pemain-pemain saya. Mereka bermain dengan baik dan inilah pemain-pemain yang akan meningkat ke peringkat seterusnya.
“Struktur permainan mereka sudah menyerupai skuad kebangsaan. Jadi, lebih mudah untuk mereka melangkah ke tahap seterusnya bagi menjadi pemain kebangsaan,” katanya.
Young Tigers kini perlu memberikan tumpuan kepada aksi menentang Jepun dengan memperkemas penyudah serta memastikan setiap peluang yang terhidang dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meneruskan momentum positif dalam kejohanan itu.