Kredit Gambar: IG Shah Firdaus Sahrom
DUA dekad bersama skuad berbasikal trek negara bukan sekadar tempoh membina kejayaan, sebaliknya turut meninggalkan ikatan istimewa antara pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom dan pengarah teknikal, John Beasley.
Bagi Shah Firdaus, Beasley bukan hanya jurulatih yang membimbingnya sejak berusia 19 tahun, malah insan yang banyak membentuk dirinya sebagai pelumba dan individu sehingga hari ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Shah Firdaus meluahkan penghargaan terhadap segala pengorbanan, dedikasi dan kepercayaan yang diberikan Beasley sepanjang bersama skuad negara, termasuk ketika berdepan detik paling sukar dalam kariernya.
Beliau berkata, pengalaman mengharungi pelbagai suka duka bersama Beasley sukar digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi apabila jurulatih dari Australia itu sentiasa berada di sisinya ketika berdepan cabaran di dalam dan luar trek.
“John, terima kasih atas segala kerja keras, dedikasi dan pengorbanan selama ini. Saya bersama anda sejak berusia 19 tahun dan dengan jujur, saya boleh katakan banyak yang anda ajar kepada saya, sama ada di dalam mahupun di luar trek.
“Anda bukan sekadar membentuk saya sebagai pelumba, tetapi turut membantu membentuk diri saya hari ini,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Shah Firdaus turut mengenang jasa Beasley yang berada di sisinya ketika menjalani proses pemulihan, termasuk menunggu di luar bilik pembedahan, satu pengorbanan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
Menurutnya, Beasley akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan kariernya, selain menyifatkan nilai yang diterapkan jurulatih itu sebagai antara perkara penting yang terus dibawa oleh anggota pasukan sehingga kini.
Walaupun mengakui sebahagian dirinya berharap Beasley dapat terus bersama pasukan untuk tempoh lebih lama, Shah Firdaus berkata beliau tetap gembira sekiranya jurulatih itu dapat memulakan lembaran baharu yang membahagiakannya.
“Malaysia akan sentiasa menjadi salah satu rumah anda, John. Apabila anda membuat keputusan untuk kembali, anda sentiasa dialu-alukan di sini, bukan sekadar sebagai jurulatih, tetapi sebagai keluarga dan seseorang yang akan sentiasa menjadi sebahagian daripada berbasikal Malaysia.
“Ini bukan selamat tinggal,” katanya.
Terdahulu, Beasley mengesahkan akan menyertai Jepun selepas meninggalkan skuad berbasikal trek negara, sekali gus menamatkan perjalanan selama 20 tahun bersama Malaysia. Beliau berkata keputusan membuka lembaran baharu dalam kariernya itu dibuat selepas mempertimbangkan perkara berkenaan dengan sewajarnya.