AKSI Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 semakin sampai ke kemuncaknya dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat menghampiri kejayaan sulung sejak pasukan itu ditubuhkan pada tahun 2023.

Mengekori rapat JDT adalah bekas juara, Selangor FC yang mencipta kejutan menewaskan Harimau Selatan sekaligus menamatkan rentetan sembilan kemenangan skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia.

Namun disebalik kerancakkan arena futsal musim ini, FLASH SUKAN difahamkan ‘perangai’ tunggakan gaji sudah berjangkit kepada pasukan yang sedang bertanding sekaligus sedikit sebanyak menjejaskan motivasi para pemain untuk beraksi.

Menurut sumber, kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu kini masih belum menerima bayaran gaji sehingga tiga bulan namun mereka masih beraksi baik dan berjaya mencipta kejutan dalam aksi minggu ke-10.

“Pasukan kami sedang bermasalah kerana tidak menerima gaji hampir dua hingga tiga bulan dan hanya semangat dari pemain dan barisan kejurulatihan sahaja yang menggerakkan pasukan ketika ini,” menurut sumber yang enggan dikenali.

Mereka juga berharap masalah ini dapat diselesaikan kerana para pemain dan barisan kejurulatihan tertakluk kepada kontrak yang jelas menunjukkan perjanjian sehingga tamat musim sepenuhnya pada hujung 2024.

JDT kini mendahului enam mata di MPFL

Diharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik untuk memastikan kebajikan pemain terjaga dan kemeriahan MPFL yang semakin rancak tidak terjejas dengan kemungkinan penarikan diri pasukan.

Masalah gaji masih menjadi barah dalam senario bola sepak tempatan dengan beberapa pasukan yang bersaing dalam Liga Super juga mengalami isu yang sama dan ini menjejaskan imej bola sepak di Malaysia.